Apandi Ali letak jawatan pengerusi lembaga disiplin Umno secara rasmi

Bekas peguam negara, Apandi Ali. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Bekas peguam negara, Mohamed Apandi Ali secara rasmi meletak jawatan sebagai pengerusi lembaga disiplin Umno, sebulan selepas beliau mengumumkan peletakan jawatannya.

“Ya, memang benar,” katanya dalam teks mesej kepada FMT ketika ditanya jika beliau sudah berbuat demikian.

Pada 26 Dis, Apandi berkata beliau meletak jawatan susulan dakwaan campur tangan pimpinan parti terhadap siasatan dan pengadilan tuduhan salah laku bekas naib presiden Hishammuddin Hussein.

“Pucuk pimpinan parti boleh kekalkan jawatan politik masing-masing, saya kekalkan maruah dan integriti saya,” katanya kepada FMT bulan lalu.

Terdahulu, Apandi dilaporkan berkata beliau tidak mahu dipersalahkan berhubung pembatalan sesi perjumpaan lembaga disiplin parti dengan Hishammuddin.

Hishammuddin dipanggil lembaga disiplin pada 16 Disember bagi memberi penjelasan berhubung tuduhan melanggar perlembagaan dan tataetika sebagai ahli Umno.

Ahli Majlis Tertinggi Lokman Noor Adam sebelum ini membuat laporan berhubung pertemuan sulit Hishammuddin dengan sekumpulan ahli Parlimen Umno dan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali.

Sebelum ini, FMT memetik orang dalam Umno sebagai berkata Setiausaha Agungnya, Annuar Musa meminta Apandi menarik balik surat tindakan disiplin terhadap Hishammuddin.