Gong Xi Fa Cai! 7 tip makan secara sihat semasa Tahun Baru Cina

Hari ini semua masyarakat Cina menyambut Tahun Baru Cina.

Dan sudah pasti semua pulang ke kampung halaman bagi meraikannya bersama keluarga tercinta.

Inilah masanya untuk sanak saudara berkumpul di rumah untuk makan besar sambil bergelak ketawa dengan yang tersayang.

Namun, jangan pula anda makan makanan tradisional Cina di rumah sampai lupa kepentingan diet yang seimbang, okay!

Tahun Baru Cina adalah perayaan utama masyarakat Cina bagi menyambut tahun baharu dalam kalendar Cina.

Kalendar ini terbahagi kepada kitaran 12 tahun dan dinamakan sempena nama haiwan. Untuk pengetahuan anda, tahun ini adalah giliran tahun tikus!

Perayaan ini melambangkan permulaan yakni titik bermulanya sesebuah nasib dalam sesuatu kehidupan.

Pada hari ini, rumah akan dicuci dan dihias dengan meriahnya.

Segala hutang piutang akan dibayar atau dikutip bagi menggambarkan permulaan kehidupan baru bagi setiap individu.

Pada malam hari pula, mercun akan dibakar untuk tujuan menghalau atau mengusir nasib malang.

Bukan itu sahaja, rumah masyarakat kaum Cina tatkala ini pasti akan penuh dengan bunga, pokok dan buah limau sebagai simbolik murah rezeki.

Dalam pada itu, peristiwa yang paling menarik ketika Tahun Baru Cina ini adalah makan besar bersama ahli keluarga.

Makanan tradisional Cina semasa makan besar

Jika Hari Raya Aidilfitri atau Aidiladha yang diraikan oleh masyarakat Melayu popular dengan ketupat, lemang dan rendang, bagaimana pula dengan perayaan Tahun Baru Cina?

Apa menu yang membuat sanak saudara yang jauh dari kampung halaman terliur dan tidak sabar untuk nikmati setibanya di rumah nanti agaknya ya?

Buat anda yang belum tahu, semasa malam Tahun Baru Cina, mereka akan makan besar bersama ahli keluarga dengan pelbagai juadah dan makanan tradisional Cina disediakan di atas meja.

Sebelum memulakan sesi menjamu selera, mereka akan bersama-sama mengucapkan “yam seng”, yang bermaksud minum untuk kejayaan.

Selepas itu, barulah anda boleh makan makanan tradisional Cina seperti Yee Sang, ladu (dumpling), popia, kek beras pulut, bebola pulut manis dan mi yang masing-masing mempunyai makna atau simboliknya yang tersendiri.

Sebagai contoh, Yee Sang yang diperbuat dari potongan daging ikan mentah, cebisan sayuran serta aneka sos perasa ini membawa maksud kemewahan, kemakmuran dan kesuburan.

Namun, di sebalik setiap simbolik makanan tradisional ini, jangan abaikan kesihatan anda dan sila makan secara sihat.

Tip makan secara sihat di Tahun Baru Cina

Hakikatnya, agak sukar untuk kita makan secara sihat semasa apa-apa jua hari perayaan.

Bayangkan, pelbagai juadah telah tersedia di depan mata dan hanya menunggu ia masuk ke dalam tangki perut.

Namun, jangan terlalu ikut nafsu makan. Berikut merupakan beberapa tip makan secara sihat di Tahun Baru Cina yang boleh diamalkan:

1. Makan tepat pada waktu

Secara tradisinya, masyarakat Cina akan makan besar pada waktu malam tahun baru. Jadi, sila makan pada waktu ini dan jangan pula melambatkannya sehingga melangkau waktu makan malam anda. Selain itu, tidak perlu menahan lapar pada siang hari semata-mata ingin mengosongkan perut untuk makan makanan tradisional Cina semasa makan besar nanti. Makan sahaja seperti biasa okay?

2. Makan mengikut keperluan

Pantang ada makanan tradisional Cina depan mata, anak-anak yang sudah lama tidak pulang ke kampung halaman pasti akan geram melihatnya, bukan? Namun, berpada-padalah. Sekiranya anda masih ingin makan semua hidangan yang ada semasa makan besar itu, cukup sekadar merasa sahaja setiap jenis makanan. Ini bertujuan mengelakkan anda dari mengalami kembung perut, pedih ulu hati atau ketidakhadaman.

3. Pilih menu yang sihat

Kedengaran klise, bukan? Jadi, bagaimana untuk memilih makanan tradisional Cina yang sihat? Caranya, lihat kepada kaedah masakannya. Anda seharusnya memilih makanan yang dimasak dengan cara kukus, rebus, bakar atau dimasak bersama sup dan elakkan masakan yang berminyak. Namun, jangan pula sampai mengkritik makanan ibu anda itu, takut kecil pula hatinya nanti.

4. Susun makanan secara teratur

Ya, tidak dinafikan makanan tradisional Cina yang terdapat di meja makan semasa makan besar memang sangat menggoda. Namun, anda perlu elak daripada menimbun makanan di atas satu pinggan. Walaupun tip ini kelihatan seperti agak remeh, namun ia sangat penting demi mengelakkan anda makan secara berlebihan. Ia bukan sahaja akan menyebabkan ketidakselesaan pada perut, malah akan menyebabkan berat badan anda menjadi tidak terkawal.

5. Makan perlahan-lahan

Dalam erti kata yang lebih mudah, jangan gelojoh. Sebaiknya, kunyah setiap makanan tradisional Cina yang anda makan itu dengan perlahan-lahan sebelum memasuki perut. Ini bertujuan melancarkan sistem penghadaman anda. Lagipun, ia satu adab di meja makan yang perlu dipatuhi, bukan?

6. Berhenti sebelum kenyang

Jangan sesekali makan selepas kenyang, okay? Ia hanya akan menyebabkan perut anda kembung. Walaupun anda berniat untuk tidak membazirkan makanan tradisional Cina yang terhidang di atas meja makan itu, tidak wajar untuk anda membebankan diri anda. Jadi, berhenti sebelum kenyang semasa makan besar nanti.

7. Minum air secukupnya

Makan, makan juga. Tapi jangan sampai lupa minum air. Seperti saranan kebanyakan pakar, anda perlu minum air putih 8 gelas sehari untuk memastikan anda kekal berhidrasi. Selain itu, ia juga bagus untuk memastikan anda tidak tercekik semasa sedang sedap menjamah makanan tradisional Cina tatkala makan besar bersama ahli keluarga anda.

Kesimpulannya, makanan tradisional Cina memang menyelerakan.

Namun, sila ikuti tip di atas dan makan secara sihat semasa Tahun Baru Cina yang bakal tiba nanti.

Di kesempatan ini, pihak Hello Doktor juga ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina, Gong Xi Fa Cai!

Artikel ini diterbitkan di hellodoktor.com dan disemak Dr Duyen Le. Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]