Koronavirus merebak ke Eropah, Perancis sah 3 kes

Jangkitan koronavirus mula dikesan pada Dis di Wuhan, China dan kini merebak ke seluruh dunia termasuk Amerika Syarikat. (AP pic)

PARIS: Tiga kes koronavirus “disahkan” di Perancis, kes pertama di Eropah,” kata pegawai pada Jumaat.

Kes pertama melibatkan seorang pesakit di hospital di bandar raya Bordeaux di bahagian barat daya, sementara yang lain di Paris, kata Menteri Kesihatan Perancis Agnes Buzyn kepada pemberita.

Mangsa ketiga, yang merupakan saudara rapat salah seorang mangsa juga disahkan dijangkiti virus berkenaan, kata kementerian tersebut selepas itu.

Ketiga-tiga mereka baru kembali dari China dan kini ditempatkan di wad isolasi.

“Kami kini dalam proses menjejak sejarah 3 individu yang disahkan dijangkiti bagi mengesan pihak yang berhubung dengan mereka,” kata Buzyn.

“Hari ini kami menjadi negara pertama di Eropah dengan kes koronavirus. Ini mungkin kerana kami berjaya menjalankan ujian dengan pantas dan dapat mengenal pasti virus berkenaan.

Pesakit pertama berusia 48, yang kembali ke Perancis pada 22 Jan selepas mengembara “melalui Wuhan”, sebuah bandar raya di China yang menjadi pusat wabak berbahaya itu, disifatkan sebagai “sihat”.

“Kami tahu sejak pesakit tiba di Perancis mereka berhubung dengan beberapa dozen orang. Kami akan menghubungi mereka.”

Katanya, beliau baru sahaja menerima maklumat berhubung kes kedua, justeru tidak bersedia untuk mengumumkannya.

“Kita harus hadapi wabak seperti kita hadapi kebakaran, harus segera mengenal pasti sumbernya dan mengawalnya secepat mungkin,” tambah beliau.

Virus yang sebelum ini tidak diketahui menimbulkan kebimbangan antarabangsa kerana ia menyerupai SARS (Sindrom Penafasan Akut Teruk) yang mengorbankan beberapa ratus rakyat China dan Hongkong pada 2002-2003.

Ia juga berlaku pada masa paling tidak sesuai bagi China apabila ratusan juta rakyatnya melakukan perjalanan ke seluruh negara atau luar negara bagi menyambut perayaan Tahun Baru Cina.

Wuhan merupakan hab industri dan pengangkutan dengan 11 juta penduduk di tengah China.

Virus itu mula dikesan pada Dis dan kini merebak ke seluruh dunia termasuk Amerika Syarikat.

Angka kematian disahkan setakat ini ialah 41 orang.