Menakutkan… Patung Elsa kembali ke rumah selepas 2 kali dibuang

Apabila bercakap mengenai patung berhantu, sudah pasti ramai akan teringat filem seram Annabelle ataupun Chucky yang sememangnya terkenal sebagai patung yang sangat menakutkan kepada kanak-kanak.

Namun jika ia melibatkan patung Elsa yang mana karakter kartun itu bukanlah sesuatu yang menyeramkan sebaliknya menjadi kegemaran dan ikutan kanak-kanak perempuan.

Tapi bagi sebuah keluarga di Texas, Amerika Syarikat ia menjadi sesuatu yang sangat misteri apabila patung Elsa yang sudah dibuang dua kali kembali semula ke rumah mereka.

“Anak saya tak marah nak buang patung tu, sebab ia dah lama dan kotor. Jadi kami buang dalam tong sampah.

“Tapi dua minggu kemudian ia kembali ke rumah saya. Dua kali terjadi. Serius, kami perlukan bantuan,” ujar Emily Madonia.

Dia turut berkongsi kisah seram itu menerusi laman Facebook miliknya.

Kata Emily lagi, dia yakin patung itu sudah diangkut oleh lori sampah bersama sampah-sarap lain.

Tambahnya, kehadiran semula patung itu memberi igauan buat keluarganya.

“Namun, seminggu kemudian ketika sedang mencari sesuatu, kami menjumpai anak patung itu di atas timbunan selimut dan barangan lain di atas bangku kayu di ruang tamu rumah.

“Saya tidak rasa ia merupakan kerja anak-anak saya tetapi saya tetap menanyakan mereka soal itu. Namun, mereka kelihatan terpinga-pinga,” tulis Emily.

Kemudian dia dan suaminya mengambil keputusan untuk sekali lagi membuang anak patung Elsa terbabit.

Kali ini, pasangan itu mengikat beg plastik dan memasukkannya ke dalam plastik lain sebelum meletakkannya di luar di bawah timbunan sampah lain.

Emily menyangka itu merupakan kali terakhir dia bakal bertemu patung Elsa berkenaan.

Namun sangkaan wanita berkenaan meleset selepas patung itu sekali lagi muncul di rumahnya.

“Kami sudah melupakan Elsa buat seketika sebelum Aurelia memberitahu dia terlihat patung itu berada di belakang rumah”.

Posting Emily di Facebook kemudiannya menjadi tular dan wanita berkenaan menerima banyak mesej yang bertanyakan mengenai patung berkenaan.

Malah, ada juga yang menawarkan mahu membeli patung Elsa itu.

Tidak kurang juga ada sesetengah individu yang meragui kisah keluarga Emily.

“Ini bukan perkara main-main. Sama ada patung itu benar-benar berhantu atau ada orang gila yang selalu mengorek sampah dan meletakkannya di rumah saya,” balas Emily.

Malah Emily yakin patung Elsa itu merupakan patung sama yang telah diberikan kepada anaknya ekoran ia mempunyai kesan contengan berwarna yang dilakukan oleh Aurelia sebelum ini.

Bagaimanapun, Emily akhirnya mengirimkan patung itu kepada seorang rakan mayanya, Chris Hogan yang tinggal lebih 1,500 batu jauh daripadanya.

“Elsa ketawa selama 30 saat semasa saya sedang memasukkannya ke dalam kotak. Dia tidak pernah berbuat begitu,” tulisnya mengenai detik akhir bersama patung puaka itu.

Difahamkan, patung Elsa berkenaan sudah selamat tiba di kediaman Chris Hogan.

Meskipun lelaki berkenaan mendakwa dia tidak percaya akan perkara mistik, namun dia tetap mengikat boneka itu pada kenderaannya dengan menggunakan pita pelekat demi mengelakkannya daripada bergerak.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]