Najib gesa Putrajaya gantung visa percuma kepada pelancong China

Bekas perdana menteri, Najib Razak.

PETALING JAYA: Najib Razak menggesa Putrajaya menggantung sementara pengecualian visa percuma kepada pelancong China, selepas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata Malaysia tidak ada rancangan melarang kemasukan atau mengkaji semula visa kepada pelancong China susulan penularan wabak koronavirus.

Bekas perdana menteri itu berkata penggantungan sementara dalam tempoh yang munasabah itu bertujuan mengurangkan pelancong dari China masuk ke negara ini.

“Ini bagi memastikan kemasukan mereka dikawal sepenuhnya dan diperiksa dengan lebih teliti terutama status kesihatan.

“Tempoh memohon visa ini juga akan menyekat mereka yang baru dijangkiti virus tetapi masih tidak ada tanda-tanda sakit,” katanya menerusi Facebook.

Mahathir sebelum ini berkata kerajaan tidak akan melarang kemasukan pelancong China tetapi tahap kesihatan mereka akan diperiksa.

Beliau ditanya sama ada kerajaan akan mengkaji semula dasar berhubung pelancong dari China yang diberikan visa percuma sehingga 15 hari bersempena Tahun Melawat Malaysia 2020.

Najib juga menyarankan Putrajaya meningkatkan kawalan dan pemeriksaan suhu badan ke atas pelancong yang masuk ke negara ini.

“Kerajaan perlu lebih serius terutama meningkatkan jumlah mesin pengimbas suhu di pintu masuk negara ini sama ada udara mahupun darat. Ini satu perkara yang serius.

“Pihak berkuasa mesti telus dan cepat untuk memberi perkembangan terbaru tentang wabak ini kerana ramai rakyat bimbang kerana virus ini adalah serius dan boleh meragut nyawa,” katanya.

Terdahulu Kementerian Kesihatan Malaysia mengesahkan 3 kes positif novel koronavirus (2019 nCOV) membabitkan warga Cina.

Menterinya, Dzulkefly Ahmad berkata, 3 kes tersebut merupakan keluarga terdekat kepada kes positif di Singapura yang melibatkan seorang lelaki berusia 66 tahun dari Wuhan, China.

Mereka kini diisolasi di Hospital Sungai Buloh bagi menerima rawatan lanjut dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Kesemua mereka dilaporkan menaiki pesawat dari Guangzhou ke Singapura pada 20 Jan dan memasuki Johor pada 23 Jan lepas.