Najib persoal alasan ubah juru nilai aset TH Plantations

Najib Razak berkata juru nilai THP selama ini iaitu CH Williams, Talhar & Wong Sdn Bhd adalah nama yang mantap dan terkenal.

PETALING JAYA: Bekas perdana menteri Najib Razak mempersoalkan mengapa kerajaan Pakatan Harapan (PH) memutuskan untuk mengubah juru nilai aset TH Plantations Berhad (THP), salah satu cabang perladangan milik Lembaga Tabung Haji.

Beliau berkata tindakan itu menyebabkan nilai aset tersebut jatuh drastik.

Najib berkata juru nilai THP selama ini iaitu CH Williams, Talhar & Wong Sdn Bhd adalah nama yang mantap dan terkenal.

Beliau berkata juru nilai baru, yang tidak dikenalpasti meningkatkan kadar diskaun aliran tunai (DCF) untuk penilaian aset dari 9% hingga 14%.

“Siapa yang belajar akaun akan tahu kadar diskaun ini biasanya adalah sedikit lebih tinggi berbanding kadar faedah bank (6%) dan semakin tinggi kadar diskaun, semakin rendah nilai aset tersebut,” katanya menerusi Facebook.

Selain itu, Najib berkata, sehingga kini masih tidak dinyatakan mengapa kadar diskaun yang digunakan dalam penilaian aset meningkat daripada 9% kepada 14%.

Akibat perubahan penilai dan andaian yang digunakan untuk menilai aset, beliau berkata harga buku dalam laporan tahunan THP 2018 turun daripada RM366.5 juta kepada RM122.4 juta

Najib, yang juga bekas menteri kewangan berkata demikian bagi menjawab pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof Rawa bahawa keputusan menjual 14 anak syarikatnya dengan jumlah tanah perladangan sebanyak 76,975 hektar.

Mujahid berkata beliau terkejut dengan Najib kerana membangkitkan isu jualan tanah oleh THP, yang menyatakan soalan yang lebih penting adalah untuk bertanya mengapa tanah itu dibeli oleh kerajaan terdahulu dengan harga yang tinggi.

Mujahid berkata Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki dialu-alukan untuk membuat laporan kepada polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai perkara itu jika dia mempunyai bukti kukuh tentang sebarang kesalahan.

Mujahid berkata Tabung Haji memiliki 72% saham dalam THP dan beliau tidak pernah campur tangan dalam sebarang penjualan anak syarikat THP.

“Ini kerana saya yakin bahawa pengurusan baru THP akan dapat menyelamatkan syarikat daripada mengalami kerugian lagi,” katanya.