Tikus jadi pintu rezeki Mahendran raih ribuan ringgit sebulan

Mahendran menunjukkan tikus peliharaan di kedainya di Puchong, Selangor, yang kini menampung sehingga 1,500 ekor tikus untuk jualan.

KUALA LUMPUR: Sebut sahaja tikus, sudah pasti ramai yang berfikir bahawa ia adalah sejenis haiwan yang jijik, kotor dan berbau busuk, tetapi tidak bagi seorang penternak yang menjadikan tikus sebagai sumber pendapatan.

Mahendran Nadaraja, 40 yang menternak tikus sejak 5 tahun lalu berkata, beliau sendiri tidak terfikir untuk menjadikan tikus sebagai satu bentuk perniagaan, bahkan tidak menyedari keperluan dan permintaan terhadap haiwan itu di pasaran.

“Kalau tanya macam mana saya bermula, memang tidak pernah terfikir akan menternak tikus kerana saya sendiri bekerja sebagai penjual kereta selama 18 tahun.

“Minat untuk membela tikus ini bermula apabila saya mula membela seekor ular.

“Makanan ular adalah tikus. Saya cari di kedai haiwan peliharaan memang susah hendak dapatkan tikus, hinggakan saya perlu beli tikus secara atas talian. Pernah juga suatu ketika ular peliharaan saya tidak makan sehingga 2 ke 3 minggu,” katanya kepada FMT.

Disebabkan masalah dihadapinya itu, Mahendran mula terfikir untuk membela tikus yang pada awalnya hanya digunakan untuk tujuan sendiri, tetapi apabila jumlah tikus peliharaannya semakin bertambah saban hari, maka beliau mula mencari jalan untuk menjual haiwan berkenaan.

Mahendran mengutamakan kebersihan bagi menjamin kualiti tikus peliharaannya, selain kesihatannya dan pelanggan yang berkunjung ke kedai beliau.

“Saya mula-mula menternak di rumah. Saya buat rak-rak kecil di dalam bilik untuk cuba dahulu. Selepas itu, apabila tikus mula beranak, purata anak-anaknya adalah antara 12 hingga 16 ekor. Saya tidak perlukan jumlah sebanyak itu, saya hanya perlukan beberapa ekor sahaja untuk ular saya.

“Apabila sudah sebanyak itu, saya tidak boleh simpan dan mula mencari jalan untuk jual. Apabila mula mejualnya, saya dapati permintaan memang tinggi kerana orang lain yang membela ular juga hadapi masalah untuk dapatkan tikus sebagai bekalan makanan,” katanya.

Menurutnya, beliau terpaksa menjual sebuah motosikal antik miliknya, Yamaha RD, dengan harga RM13,000 untuk dijadikan modal permulaan untuk terlibat secara serius dalam penternakan tikus. Dengan wang itu beliau menyewa sebuah lot kedai di Puchong, Selangor.

“Sampai sekarang saya tidak ada masalah untuk stok tikus, tidak pernah ada situasi di mana saya terlebih tikus dan tidak ada pembeli. Tikus yang kecil sehinggalah tikus besar memang ada sasaran pelanggannya. Kebanyakan masa, saya juga tidak boleh bekalkan tikus mengikut permintaan,” katanya.

Mahendran berkata, beliau pernah mendapat tawaran pihak tertentu untuknya membekalkan lebih 500 ekor tikus bagi setiap dua minggu, tetapi terpaksa menolaknya kerana tidak mampu untuk membekalkannya.

Sebahagian daripada tikus peliharaan Mahendran di kedainya yang dijual pada harga RM2 hingga RM20 seekor.

Dengan modal permulaan RM13,000, beliau kini berjaya meraih pendapatan RM5,000 sebulan. Namun katanya, wang berkenaan tidak datang bergolek kerana beliau terpaksa memperuntukkan banyak masa menjaga tikusnya yang kini dianggarkan sebanyak 1,500 ekor.

“Tidak semudah yang disangka untuk menternak tikus. Kena jaga kebersihan kerana kita uruskan ‘benda’ yang bernyawa. Setiap hari saya akan datang ke tempat penternakan ini, katakanlah saya tidak dapat datang malam, awal pagi saya akan datang.

“Saya pernah buat kerja-kerja pembersihan selama 13 jam. Apabila kebersihan dijaga dan tikus diberikan makanan dan minuman secukupnya, maka lebih mudah untuk tikus jantan dan betina mengawan,” katanya.

Baginya, kebersihan adalah aspek utama. Selain dapat menjaga kesihatan tikus, ia juga bertujuan menjaga kesihatan dirinya daripada mendapat penyakit yang dikaitkan dengan tikus

Tikus betina yang sihat boleh melahirkan antara 12 hingga 16 ekor anak sekali.

Ketika ini tikus yang diternaknya dijual pada harga bermula RM2 ringgit hingga RM20 ringgit, bergantung kepada saiz dan jenis tikus, termasuk tikus sejuk beku yang dijual kepada pelanggan yang berminat.

“Dari saiz paling kecil, tikus yang masih tidak mempunyai bulu, yang baru lahir seminggu harganya RM3 ringgit. Selepas tikus mula berbulu, saya jual pada harga RM4 ringgit seekor. Untuk tikus yang digunakan untuk kajian lain sikit harganya sebab penjagaan tikus ini istimewa sikit.

“Tikus yang saiznya antara 5 hingga 7 inci, harganya di antara RM15 ringgit hingga RM30 ringgit. Harganya akan lebih tinggi apabila ia digunakan untuk tujuan tertentu. Saya perlu patuh kepada keperluan tertentu kerana ada berat tertentu yang diperlukan,” katanya.

Bermula dengan menternak tikus untuk keperluan ular peiharaannya, Mahendran kini berpuas hati usaha kecilnya sebelum ini menjadi satu perniagaan yang membawa pulangan lumayan.

Katanya, beliau bersyukur usaha dan minatnya itu mendapat sokongan dan dorongan daripada keluarga, yang turut bersama-sama membantunya membersihkan kawasan penternakan tikus setiap minggu.

Mahendran kini merancang untuk memperluaskan perniagaannya dan turut membela haiwan kecil yang lain seperti tikus belanda, ayam, arnab dan lain-lain.

“Saya rancang untuk buka ladang yang lebih besar, tetapi ia sekadar perancangan kerana walaupun sudah 5 tahun, saya anggap diri masih belajar,” katannya.