Warga tempatan diberi diskaun tambahan 18% bayaran tol Jambatan Pulau Pinang, kata Guan Eng

Penduduk Pulau Pinang yang sebelum ini menikmati diskaun bayaran tol 20% di Jambatan Pulau Pinang akan menerima diskaun tambahan 18% menjadikan harga tol baru RM4.59.

GEORGE TOWN: Penduduk Pulau Pinang serta pengguna Jambatan Pulau Pinang yang menikmati diskaun 20% kadar tol di jambatan itu sebelum akan menikmati diskaun tambahan 18% lagi bagi kategori kereta persendirian mulai 1 Feb ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kadar baru itu adalah hanya bagi penerima diskaun khas yang dinikmati penduduk Pulau Pinang dan warga kerja di negeri itu.

“Contohnya bayaran tol Jambatan Pulau Pinang sekarang adalah RM7 dan ia akan dipotong 18% jadi lepas ini kadar tolnya adalah RM5.74.

“Bagi penduduk Pulau Pinang yang sebelum ini menikmati diskaun 20% akan terus menerima diskaun 18% itu menjadikan harga bayaran kadar tol yang baru ialah RM4.59,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Tahun Baru Cina anjuran menteri kewangan dan Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang di Pusat Konvensyen Setia SPICE di sini, hari ini.

Beliau berkata, dengan pengurangan kadar tol 18% lagi itu akan membolehkan penduduk negeri ini menerima kadar bayaran baru hanya RM4.59, manakala bagi penduduk atau pengguna dari luar Pulau Pinang akan menikmati kadar tol RM5.74 di jambatan itu selepas pengurangan kadar tol terbabit.

Pada masa ini penduduk Pulau Pinang menikmati kadar diskaun tol di jambatan itu sebanyak 20% daripada RM7 kepada RM5.60.

Bagaimanapun bermula 1 Feb ini, pengiraan kadar baru tol Jambatan Pulau Pinang bagi penduduk negeri ini akan menggunakan formula baru dan bayaran kadar tol RM5.60 itu tidak lagi terpakai.

Lim berkata, pengurangan itu adalah manfaat besar yang diterima rakyat daripada perubahan kerajaan.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan diskaun kadar tol sebanyak 18 peratus akan diberikan kepada kenderaan penumpang, bas dan teksi (iaitu kelas 1, 4 dan 5 bagi Lebuhraya Utara Selatan termasuk Lebuhraya Baru Lembah Kelang (NKVE), Lebuhraya Utara Selatan Lingkaran Tengah (ELITE), Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia – Singapura (LINKEDUA), Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT 2), Lebuhraya Seremban – Port Dickson (SPDH) dan Lebuhraya Butterworth – Kulim (BKE) serta kenderaan kelas 2, 3, 4 dan 5 bagi Jambatan Pulau Pinang.