Bimbang jangkitan koronavirus, ICQ Padang Besar lengang

Tidak seperti kebiasaan pada hari cuti perayaan, ICQ Padang Besar dilaporkan lengang berikutan kebimbangan orang ramai berhubung penularan wabak koronavirus. (Gambar Bernama)

PADANG BESAR: Tidak seperti kebiasaannya pada musim cuti perayaan Tahun Baru Cina, keadaan di pintu sempadan di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Padang Besar kelihatan agak lengang berikutan kebimbangan orang ramai terhadap penularan wabak 2019 Novel Koronavirus (2019-nCoV).

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perlis, Basri Othman berkata, seperti tahun sebelum ini pihaknya menjangkakan berlaku kesesakan di pintu masuk Malaysia-Thailand, namun keadaan berbeza berlaku.

“Kita meletakkan anggota tambahan untuk memantau, namun jumlah kenderaan masuk dan keluar dari kedua-dua negara boleh dibilang…

“Sebagai langkah keselamatan anggota bertugas dinasihatkan memakai penutup mulut dan hidung yang mula dibekalkan hari ini,” katanya di sini, hari ini.

Tinjauan di sekitar Kawalan Jabatan Imigresen Malaysia Padang Besar di stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) di sini juga mendapati orang awam dan pelancong yang tiba dari Thailand memakai penutup hidung dan mulut sebagai langkah awal bagi mengelak daripada jangkitan apabila berada di tempat umum.

Aktiviti pengimbasan menggunakan alatan elektronik khas iaitu ‘Therma Scan’ untuk mengesan suhu badan manusia dilakukan pihak Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perlis di pintu masuk kawalan Imigresen KTM Padang Besar bagi mengenal pasti individu yang mempunyai simptom demam dan suhu badan tinggi.

Basri berkata, buat masa ini belum ada pelancong dari Wuhan, China masuk ke negeri ini dan keadaan terkawal.

Sementara itu, pelancong dari Thailand, Aminah Susanti, 35, yang berasal dari wilayah Pattalung, Thailand berkata, beliau sentiasa mengikuti perkembangan penularan wabak koronavirus dan berharap ia tidak merebak ke Thailand mahupun Malaysia.

Turut berkongsi pendapat, Mohd Amzaruddin Azmi, 46, berkata beliau membatalkan niat untuk mengikuti konvoi motosikal kuasa besar bersama rakannya ke selatan Thailand.

“Isteri menghalang saya untuk ikuti konvoi kerana bimbang berhubung penularan wabak koronavirus dan saya hanya habiskan cuti sempena Tahun Baru Cina di Padang Besar sahaja,” kata anak jati Perlis itu.