Kadar jangkitan tinggi punca koronavirus sukar dikawal, kata penyelidik

Penyelidik merumuskan kadar purata jangkitan pesakit baru koronavirus adalah setinggi 2.5 oleh mangsa yang dijangkiti sebelum itu. (Gambar Nathan Denette/The Canadian Press via AP)

LONDON: Secara purata individu dijangkiti koronavirus menularkan penyakit itu kepada 2 atau 3 orang lain, menurut 2 analisis saintifik berlainan mengenai wabak itu.

Sama ada wabak itu akan terus tular pada kadar semasa bergantung pada keberkesanan langkah kawalan, kata saintis yang menjalankan kajian berkenaan.

Bagaimapaun bagi mengawal wabak tersebut dan menyekat jangkitan, langkah kawalan harus menghentikan sekurang-kurangya 60% jangkitan yang berlaku.

Angka kematian akibat wabak koronavirus kini mencecah 56 orang dengan 1,4000 jangkitan di seluruh dunia, dan kebanyakannya di China.

“Tidak jelas pada masa ini sama ada wabak tersebut boleh dihadkan di China,” kata Neil Ferguson, pakar penyakit berjangkit di Imperial College London, yang merupakan penulis bersama kajian berkenaan.

Pasukan Ferguson menjangka kira-kira 4,000 orang di Wuhan telah pun dijangkiti pada 18 Jan, dan secara purat setiap kes menularkan virus tersebut kepada 2-3 orang yang lain.

Kajian kedua oleh penyelidik di Universiti Lancester UK juga merumuskan kadar purata jangkitan pesakit baru setinggi 2.5 oleh mangsa yang dijangkiti sebelum itu.

“Jika wabak itu tidak dapat dikawal di Wuhan, kami menjangka ia akan menular luas menjelang 4 Feb,” kata sainstis terbabit.

Mereka menganggarkan bandar raya Wuhan di tengah China, yang menyaksikan wabak bermula pada Dis lepas, akan berdepan 190,000 kes jangkitan pada 4 Feb dan “jangkitan akan bertapak di bandar raya China lain, sementara pengimportannya ke luar negara menjadi lebih kerap”.

Raina MacIntyre, ketua Program Penyelidikan Biosekuriti di Institut Kirby, Universti New South Wales di Australia berkata pada Sabtu, bahawa wujud kebimbangan jangkitan virus tersebut semakin meluas sejak beberapa hari lepas.

“Semakin tersebar jangkitan ke bahagian lain China, maka semakin tinggi risiko ia tersebar ke serata dunia,” kata MacIntyre.

Australia, yang merupakan destinasi popular pelawat dari China, mengesahkan 4 kes pertamanya membabitkan pelancong dari negara itu. Kesemua mereka berasal dari Wuhan.

“Kita perlu lebih banyak data mengenai faktor risiko, jangkitan, pengeraman dan epidemiology virus berkenaan diterbitkan bagi membolehkan kami memahami langkah kawalan paling sesuai,” kata MacIntyre.