Kerajaan mahu hantar usahawan berminat belajar ke Jepun, kata Mahathir

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada acara sambutan Tahun Baru Cina di Dewan Hokkien Klang hari ini. Turut kelihatan Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan Dr Siti Hasmah Ali.

SHAH ALAM: Kerajaan sedang mengenal pasti usahawan yang berminat dalam beberapa bidang perniagaaan untuk dihantar ke Jepun bagi mengubah corak kehidupan mereka.

Perdana Menteri, Dr Mahthir Mohamad berkata, kerajaan juga mengenal pasti beberapa perusahaan di Okinawa, Jepun yang mempunyai potensi untuk dijalankan di Malaysia.

Katanya, kerajaan bercadang mencari pihak yang berminat untuk dihantar ke negara matahari terbit itu untuk mempelajari model perniagaan di sana.

“Saya baru-baru ini ke Okinawa dan telah mengenal pasti beberapa bentuk perusahaan yang boleh diusahakan oleh kita di Malaysia.

“Saya ingin cari orang yang berminat untuk dihantar ke Okinawa dan tempat lain di Jepun untuk belajar perniagaan di sana,” katanya ketika berucap pada program Nak Ubah Hidup (Nuh) 2020 di Pusat Konvensyen Setia City di sini, hari ini.

Dalam ucapan sama, Mahathir berkata, beliau ingin melihat lebih ramai penduduk luar bandar berjaya dalam bidang perniagaan.

“Kita lihat antara bandar dan luar bandar kekayaan amat berbeza. Orang di bandar biasanya kaya, luar bandar biasanya miskin,” katanya.

Mahathir berkata, masyarakat juga tidak harus terlalu bergantung pada pekerjaan makan gaji sahaja jika mahukan pendapatan lebih.

“Kita harus ingat bahawa rezeki datang daripada perniagaan. Kalau nak makan gaji takat itu sahajalah, tapi kalau nak meniaga boleh jadi jutawan jelas nampak di sini,” katanya.

Sejak menjadi perdana menteri buat kali kedua berikutan kemenangan Pakatan Harapan (PH) yang diketuainya pada pilihan raya umum ke-14, Mahathir telah beberapa kali ke Jepun, termasuk Okinawa baru-baru ini bagi melihat model perniagaan negara itu.

Hadir sama Dr Siti Hasmah Ali, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Rina Harun.