Kes ke-4 koronavirus dikesan di Johor

Kes ke-4 positif koronavirus melibatkan lelaki dari Wuhan kini mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan 1 lagi kes positif novel koronavirus (2019-nCoV) di Johor selepas 3 kes dilaporkan pada awal hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan bagaimanapun berkata kes terbaru melibatkan seorang lelaki berumur 40 tahun dari Wuhan itu tiada kaitan dengan kes terdahulu.

“Kes tiba di Johor Bahru pada 22 Jan 2020 dengan menaiki bas dari Singapura. Kes datang bersama sekumpulan pelancong warga China seramai 17 orang yang turut terdiri daripada isteri dan seorang anaknya.

“Kes mula mengalami gejala demam pada 23 Jan 2020 dan keesokan harinya beliau pergi mendapatkan rawatan di salah sebuah hospital swasta berhampiran,” katanya.

Beliau berkata, mangsa yang ketika ini masih demam dan batuk, namun stabil dirujuk menerima rawatan lanjut di bawah jagaan Pasukan Perubatan Penyakit Berjangkit Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.

Katanya, Jabatan Kesihatan Negeri Johor juga bertindak segera mengesan semua 17 kontak daripada kumpulan pelancongan itu dan melakukan saringan kesihatan bagi memeriksa status kesihatan mereka.

“Hasil saringan mendapati mereka tidak demam dan tidak mempunyai sebarang gejala jangkitan. Sampel klinikal seterusnya diambil dalam kalangan kontak tersebut untuk menjalani ujian pengesanan dan pengesahan 2019-nCoV di MKAK Sungai Buloh.

“Semua kontak seterusnya diletakkan di bawah Perintah Pemantauan dan Pengasingan di tempat yang disediakan sementara menunggu keputusan ujian yang dijalankan ke atas mereka.”

Awal hari ini, Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata, 3 kes terdahulu merupakan keluarga terdekat kepada kes positif di Singapura yang melibatkan seorang lelaki berusia 66 tahun dari Wuhan, China.

Beliau berkata, kesemua yang dikesan positif virus tersebut, ialah isteri (65 tahun) dan 2 cucu (11 dan 2 tahun) kepada lelaki kes pertama di Singapura.

Mereka kini diisolasi di Hospital Sungai Buloh bagi menerima rawatan lanjut dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Semua mereka dilaporkan menaiki pesawat dari Guangzhou ke Singapura pada 20 Jan dan memasuki Johor pada 23 Jan lepas.