Koronavirus tidak di peringkat kritikal untuk larang pelancong masuk, kata PM

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan tidak dapat meramal tahap keseriusan jangkitan koranavirus pada masa akan datang.

KLANG: Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata, penularan koronavirus tidak di peringkat kritikal bagi menghalang kemasukan pelancong.

Beliau berkata, kerajaan melaksanakan pemeriksaan ketat ke atas pelancong yang memasuki negara ini dan pihak berkuasa kesihatan kini menempatkan mana-mana individu yang menunjukkan simptom penyakit tersebut dalam kuarantin.

Katanya, langkah itu sudah memadai buat masa ini.

Mahathir mengakui kerajaan tidak dapat meramal tahap keseriusan keadaan pada masa depan.

“Banyak negara yang menghadapi masalah sama. Kita harus menilai keadaan dari masa ke masa. Tetapi pada masa ini ia tidak di peringkat kritikal, ia belum sampai ke peringkat kita perlu menghentikan pelancongan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri acara sambutan Tahun Baru Cina di Klang hari ini.

Bagaimanapun beliau memberi jaminan bahawa semua pelacong yang memasuki negara ini diperiksa rapi dan jangkitan dalam kalangan mereka dikesan.

Ketika ditanya sama ada Malaysia akan melaksanakan langkah kuarantin ke atas semua pelancong dari China sehingga mereka disahkan tidak menunjukkan simptom virus tersebut, Mahathir berkata, ia mustahil dapat dilakukan.

“Pelancong dari China (kadang-kadang) meningkat kepada 2 juta orang. Kita nak tempatkan mereka di mana?”