Malindo Air kuarantin anak kapal di China

Krew penerbangan yang dikuarantin adalah mereka yang terbang dari Kuala Lumpur ke Zhengzhou pada 24 Jan. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Malindo Air menjalankan kuarantin terhadap 7 anak kapalnya selama 14 hari di Zhengzhou, China, selepas seorang penumpang pesawat itu disyaki dijangkiti koronavirus.

Dalam satu kenyataan, ia berkata krew penerbangan itu terbang dari Kuala Lumpur ke Zhengzhou pada 24 Jan.

Ia berkata syarikat penerbangan itu sedang memantau situasi dengan teliti dan menyediakan semua bantuan yang diperlukan kepada krew terlibat serta pihak berkuasa China untuk meminimumkan penyebaran koronavirus.

“Saringan penumpang secara proaktif di lapangan dan kawalan yang lebih ketat ke atas pergerakan penumpang kami untuk semua penerbangan ke dan dari China sedang berjalan,” katanya.

Semua penumpang Cina dari wilayah Hubei, termasuk bandar Wunan, mesti mengemukakan sijil perubatan untuk membuktikan mereka layak menaiki pesawat.

“Mereka yang didapati tidak layak tidak dibenarkan meneruskan penerbangan,” tambahnya.