Nufam gesa syarikat penerbangan benar anak kapal pakai topeng muka

Nufam berkata syarikat penerbangan bimbang penumpang terkejut jika mereka membenarkan anak kapal memakai topeng muka dan sarung tangan. (Gambar AP)

PETALING JAYA: Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (Nufam) meminta semua syarikat penerbangan membenarkan krew dan kakitangan mereka memakai topeng muka bagi mengelakkan jangkitan koronavirus.

Dalam satu kenyataan kepada FMT, ia juga menggesa Kementerian Pengangkutan mengeluarkan arahan itu kepada semua syarikat penerbangan tanpa penangguhan, terutama yang terbang dari China.

Ia berkata beberapa syarikat penerbangan belum mengeluarkan notis atau membenarkan kru dan kakitangan mereka memakai topeng muka. Kes ini telah dilaporkan kepada kesatuan.

“Kami mengambil berat tentang ini kerana kelihatan syarikat-syarikat penerbangan lebih bimbang tentang imej mereka dan tidak mahu membenarkan kru mereka memakai topeng muka.”

Nufam berkata ia kelihatan dilakukan untuk mengelakkan perasan takut dalam kalangan penumpang yang menaiki pesawat.

“Tetapi kebajikan krew dan kakitangan mesti diberi keutamaan,” tambah kesatuan itu.

Mengulas lanjut, Nufam berkata tiada paksaan atau kawalan untuk menghentikan kru daripada memakai topeng muka dan sarung tangan ketika melakukan penerbangan “berisiko tinggi”.

Kenyataan Nufam dibuat selepas 7 anak kapal Malindo Air dikuarantin selama 14 hari di Zhengzhou, China, selepas seorang penumpang pesawat itu disyaki dijangkiti virus tersebut.

Nufam menambah Kesatuan Cathay Airlines baru-baru ini juga menuntut syarikat penerbangan mereka membenarkan anak kapal memakai topeng muka. Syarikat penerbangan itu pada asalnya menolak permintaan tersebut, katanya.

“Kami menggesa syarikat penerbangan tempatan kita bertindak cepat dengan menyediakan sarung tangan, topeng muka dan gel penyahjangkitan dalam penerbangan,” katanya kerana tugas kru termasuklah membersihkan dulang makanan penumpang.

Nufam juga mahukan garis panduan baru dikeluarkan berikutan kebimbangan terhadap koronavirus.

“Risiko lebih tinggi untuk kru syarikat penerbangan kerana mereka terdedah kepada beribu-ribu penumpang yang melakukan perjalanan ke dalam dan luar negara setiap hari.”

Ia menggesa kru penerbangan mematuhi sebarang peraturan dengan ketat.