‘Pelik dan bercanggah’ Anwar tak saman Yusoff Rawther, kata Haniff

Peguam yang mewakili Yusoff Rawther, Haniff Khatri Abdulla dan Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

GEORGE TOWN: Peguam Haniff Khatri Abdulla hari ini berkata beliau terkejut selepas Anwar Ibrahim mengambil keputusan tidak menyaman anak guamnya, Muhammed Yusoff Rawther atas dakwaan serangan seksual, sedangkan presiden PKR itu dan peguamnya berkeras untuk berbuat demikian.

Haniff berkata keputusan yang dibuat peguam Anwar, Ramkarpal Singh juga “bercanggah” dengan kenyataan awal yang menyatakan Anwar akan menyaman Yusoff kerana memfitnah walaupun mengetahui peguamcara negara tidak meneruskan kes jenayah berhubung laporan polis berhubung perkara itu.

Hari ini, Ramkarpal berkata Anwar tidak akan menyaman Yusoff, kerana peguamcara negara memutuskan untuk tidak bertindak terhadap aduan Yusoff terhadap Anwar, kerana “percanggahan fakta material” dalam kes itu.

Haniff berkata kenyataan Ramkarpal bercanggah dengan apa yang dikatakan pada 17 Jan lalu, di mana beliau menegaskan Anwar berkata akan memfailkan kes “minggu depan”.

“Namun sehingga kini kami tidak menerima apa-apa notis saman, bertentangan dengan apa yang dikatakan sebelum ini. Saya fikir sesiapa sahaja boleh mengatakan ini adalah kenyataan bercanggah. Ia sangat pelik dan bercanggah.

“Apa yang pelik adalah Ramkarpal menyatakan keputusan peguamcara negara telah membersihkan nama baik Anwar Ibrahim adalah benar-benar salah. Ini kerana keputusan untuk meneruskan atau tidak meneruskan oleh AGC tidak melibatkan pembersihan nama seseorang. Hanya mahkamah yang boleh membersihkan nama seseorang.

“Kita semua diberitahu Anwar akan mempertahankan tindakan terhadap anak guam saya kerana tuduhannya tidak sepatutnya berlaku. Saya juga meminta mereka tidak menarik balik saman mereka.

“Saya akan berbincang dengan anak guam saya mengenai perkembangan terbaru ini,” katanya kepada FMT.

Yusoff membuat laporan polis terhadap Anwar, yang membuka jalan kepada satu siasatan polis di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan berkait penggunaan kekerasan jenayah untuk mencabul kehormatan seseorang.

Ahli Parlimen Port Dickson itu bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut.

Ketika memutuskan untuk tidak meneruskan pendakwaan jenayah terhadap Anwar, Engku Nor Faizah, bagi pihak Peguam Negara Tommy Thomas, yang menarik diri daripada kes itu berkata, wujud “percanggahan fakta material” berhubung dakwaan Yusoff.

“Kami juga mendapati tiada keterangan mencukupi untuk membuat pendakwaan berikutan laporan yang dibuat berdasarkan keterangan yang terkandung dalam kertas siasatan,” katanya.