Bom meletup di hospital HK kerana bimbang penularan koronavirus

Penduduk bergaduh dengan polis berhubung rancangan menyediakan pusat kuarantin di kejiranan mereka. (Gambar AP)

HONG KONG: Bom disyaki buatan sendiri meletup di sebuah hospital umum di Hong Kong pada Isnin, menyebabkan berlakunya pemindahan sementara beberapa pesakit namun tiada kecederaan, kata polis.

Insiden itu berlaku selepas sekumpulan penunjuk perasaan memasuki lobi sebuah bangunan kediaman yang baru dibina di Hong Kong di mana pihak berkuasa merancang untuk dijadikan sebagai kemudahan kuarantin, kerana kebimbangan penularan koronavirus di tanah besar China.

Peranti itu meletup di ruang tandas di Pusat Perubatan Caritas pada jam 2.30 pagi waktu tempatan, kata polis dalam satu kenyataan.

Unit pelupusan letupan “menjumpai bom yang mencurigakan di dalam tandas dengan 15cm panjang dan berdiameter 10cm,” kata polis.

“Mereka mengambil bom-bom yang mencurigakan itu untuk pemeriksaan lanjut dan memindahkan kira-kira 20 orang ke tempat yang selamat. Tiada yang cedera.”

Motif letupan belum diketahui.

Terdapat gesaan oleh penggubal undang-undang pro-demokrasi, aktivis dan kesatuan kakitangan perubatan sejak kebelakangan ini supaya Hong Kong menutup sempadan dengan tanah besar bagi mengelakkan penularan koronavirus.

Hong Kong pada Ahad menghalang penduduk wilayah Hubei China, pusat wabak virus itu daripada memasuki bandar raya itu. Ketua Eksekutif Carrie Lam minggu lalu menolak penutupan sempadan sebagai tidak sesuai dan tidak praktikal.

Hong Kong setakat ini mengesahkan 8 kes individu yang dijangkiti virus itu yang membunuh 80 orang di China.