China lanjut cuti, tutup perniagaan akibat koronavirus

Kes coronavirus di China mencecah 2,835 orang. (Gambar AP)

SHANGHAI: Jumlah kematian akibat wabak koronavirus di China meningkat kepada 81 orang pada Isnin, memaksa kerajaan melanjutkan cuti Tahun Baru Cina dan lebih banyak perniagaan besar ditutup atau mengarahkan kakitangan bekerja dari rumah dalam usaha membendung penyebarannya.

Perdana Menteri China, Li Keqiang mengunjungi bandar Wuhan, pusat wabak itu, ketika kerajaan pusat meningkatkan respon, sementara pihak berkuasa bandar berdepan tuduhan salah urus dan kegagalan menangani wabak daripada orang awam.

Saham Asia jatuh, dengan purata Nikkei Jepun meluncur 2.0%, kejatuhan 1 hari terbesar dalam tempoh 5 bulan, apabila para pelabur semakin cemas.

Jumlah kes yang disahkan di China meningkat kira-kira 30% berbanding hari sebelumnya kepada 2,744, dengan kira-kira separuh daripadanya di wilayah tengah Hubei, ibu kota Wuhan. Namun sesetengah pakar mengesyaki jumlah mereka yang dijangkiti lebih tinggi.

Ketika kebimbangan berkembang di seluruh dunia, Hong Kong yang mengesahkan 8 kes, mengharamkan kemasukan pelancong yang melawat Hubei dalam tempoh 14 hari lalu.

“Orang Hubei didiskriminasi,” seorang penduduk Wuhan mengadu di platform media sosial, Weibo.

Jumlah kematian akibat virus itu di Hubei meningkat kepada 76 daripada 56, kata pegawai kesihatan, dengan 5 kematian di tempat lain di China.

Walaupun jumlah kes yang dikaitkan dengan mereka yang pernah berkunjung ke Wuhan disahkan dijangkiti virus itu di lebih 10 negara, termasuk Thailand, Perancis, Jepun dan Amerika Syarikat, namun tiada kematian dilaporkan di tempat lain.