Jutawan Jepun cari teman wanita sanggup keliling bulan dengannya

Menjadi lumrah dalam hidup apabila pasangan yang dicari mampu memberi kebahagiaan dalam hidup seseorang.

Ia akan melengkapkan kehidupan insan tersebut dengan berkongsi susah dan senang bersama serta meluangkan hobi bersama pasangan.

Begitu juga dengan jutawan Jepun, Yusaku Maezawa, 44 kini mencari teman wanita untuk menemani perjalanannya mengelilingi bulan.

Maezawa yang juga usahawan fesyen atas talian memaklumkan yang dia sedang mencari wanita berusia 20 tahun ke atas.

“Perasaan sepi dan kosong menguasai saya, jadi ada satu perkara yang saya fikirkan, iaitu mencintai seorang wanita,” tulis Maezawa di laman webnya.

“Saya ingin mencari pasangan untuk masa depan saya, saya ingin laungkan cinta kami dan kedamaian dunia dari ruang angkasa,” tambah Maezawa, yang akan terbang mengelilingi bulan pada 2023 sebagai penumpang persendirian pertama menaiki pesawat angkasa SpaceX milik Elon Musk.

Mereka yang mahu memohon untuk menjadi teman wanita Maezawa mestilah berminat untuk menjelajah ke ruang angkasa dan bersedia mengambil bahagian dalam persediaannya serta menginginkan kedamaian dunia.

Maezawa, yang baru-baru ini berpisah daripada teman wanitanya, pelakon Ayame Goriki, 27 tahun, berkata dia merancang untuk membawa penggiat seni dalam penerbangan itu untuk memberi inspirasi kepada hasil kerja mereka.

Dokumentari yang bertajuk “Full Moon Lovers”, akan disiarkan di AbemaTV, disokong oleh agensi iklan dalam talian CyberAgent dan TV Asahi dan mensasarkan kalangan penonton belia.

Sebelum ini, Maezawa menghadiahkan wang berjumlah AS$9 juta kepada 1,000 pengikutnya di Twitter dalam satu eksperimen sosial untuk melihat sama ada wang boleh meningkatkan kebahagiaan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]