Melaka sediakan 132 pusat agihan hadapi catuan air esok

MELAKA: Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) menyediakan sebanyak 132 Pusat Agihan Setempat (OSC) di kawasan yang dijangkakan mengalami catuan bekalan air yang dijadualkan bermula esok.

Menurut kenyataan SAMB, daripada jumlah itu 97 OSC akan ditempatkan di daerah Melaka Tengah, 19 di daerah Alor Gajah dan 16 di daerah Jasin.

“Inisiatif ini diwujudkan bagi memastikan pengguna yang berada di lokasi tinggi dan di penghujung sistem rangkaian paip mendapat bekalan air dan OSC ini hanya beroperasi pada hari yang dijadualkan untuk menerima bekalan air sahaja.

“OSC berkemungkinan akan berkurang mahupun bertambah mengikut keperluan serta situasi bekalan air dari semasa ke semasa,” menurut kenyataan itu hari ini.

SAMB menasihatkan pengguna agar menyimpan air mengikut keperluan ketika bekalan air dibuka pada ketetapan Program Bekalan Air Berjadual yang diuarkan-uarkan.

Pada 23 Jan lepas, Ketua Menteri Adly Zahari dilaporkan berkata Melaka akan melaksanakan catuan bekalan air secara harian bermula esok melibatkan 550,673 orang iaitu 62.8% pengguna.

Adly dipetik sebagai berkata ia bagi memastikan bekalan air mencukupi untuk menghadapi cuaca panas dan kering dalam fasa kedua Monsun Timur Laut yang dijangka berakhir Mac ini, bagaimanapun catuan itu tidak melibatkan hospital, kawasan industri dan pusat pelancongan.