Najib tak pandai kira-kira diskaun tol PLUS

Sejak kerajaan Pakatan Harapan mengumumkan pelan untuk mengurangkan kadar tol Lebuhraya PLUS dengan diskaun 18%, bekas perdana menteri Najib Razak tidak berhenti-henti mengkritik dasar tersebut.

Jelas sekali, beliau tengah merajuk kerana PH berjaya mencari penyelesaian kepada kadar tol yang tinggi (dan kian meningkat) pada zaman kerajaan Barisan Nasional, sedangkan Najib gagal melakukan yang sama. Menurut formula PH, pengguna lebuh raya akan menikmati diskaun yang besar, kerajaan akan jimat akibat hutang kepada PLUS dihapus-kirakan dan pampasan untuk diskaun tol tidak perlu lagi dibayar sepanjang konsesi.

Walaupun saya memperbetulkan kenyataan beliau pada minggu lepas dengan fakta yang menunjukkan kelebihan dasar PH berbanding dengan BN, Najib tetap runsing dan mengeluarkan pelbagai kenyataan yang terus menyelewengkan fakta.

Dalam kenyataan Facebooknya, Najib memetik kenyataan kerajaan bahawa jumlah penjimatan pengguna tol sepanjang baki konsesi adalah RM26 bilion, manakala jumlah penjimatan kerajaan sepanjang baki konsesi adalah RM42 bilion.

Malangnya, Najib tak faham kira-kira dan mengeluarkan kenyataan bahawa “jumlah kerugian yang ditanggung pencarum KWSP dan pengguna tol masa depan sepanjang baki konsesi” ialah RM68 bilion, atau dengan mencampurkan kedua-dua jumlah RM26 bilion dan RM42 bilion.

Walaupun Najib merupakan bekas menteri Kewangan, beliau tak pandai mengira kerana penjimatan kerajaan sepanjang baki konsesi sebanyak RM42 bilion adalah terdiri daripada:

  1. Pampasan sebanyak RM26 bilion yang perlu dibayar oleh kerajaan jika kadar tol semasa dibekukan sehingga akhir konsesi sedia ada akibat kadar tol yang
    akan dinaikkan 5% setiap 3 tahun.
  2. Pampasan tambahan sebanyak RM14 bilion yang perlu dibayar oleh kerajaan kerana pemberian diskaun tol 18% daripada kadar semasa mengikut konsesi sedia ada.
  3. Hutang semasa yang tertunggak sebanyak RM2 bilion yang perlu dibayar oleh kerajaan kepada PLUS.

Oleh sebab itu, pencampuran RM26 bilion dengan RM42 bilion oleh Najib langsung tidak berbangkit, tidak logik dan tidak masuk akal.

Tambahan pula, tohmahan bahawa pencarum KWSP akan rugi sebanyak RM26 bilion atau RM42 bilion atau pun RM68 bilion langsung tidak berasas dan merupakan tuduhan membabi buta.

Seperti yang diumumkan sebelum ini, nilai ekuiti PLUS yang dipegang oleh Khazanah dan KWSP akan dikekalkan dan dilindungi melalui penerbitan bon oleh PLUS kepada pihak pemegang saham. Dengan itu, bayaran dividen dari KWSP kepada pekerja Malaysia tidak akan terjejas.

Oleh yang demikian, paling baik pun, kenyataan Najib hanya merupakan kenyataan “double-counting” yang menunjukkan beliau tak pandai ilmu hisab. Jika tidak, ia merupakan kenyataan berniat jahat untuk memutar-belitkan fakta untuk mengelirukan orang awam.

Seperti yang disahkan menteri Kewangan pada minggu lalu, rakyat akan menikmati diskaun tol sebanyak 18% mulai 1 Feb. Pencapaian ini adalah selaras dengan janji manifesto PH yang berjaya dilaksanakan tanpa merugikan kerajaan atau pembayar cukai. Sebaliknya, penjimatan yang diterima kerajaan akan dapat diperuntukkan semula kepada rakyat dalam bentuk kebajikan atau pembangunan.

Tony Pua merupakan setiausaha politik Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.