NUTP rayu KPM serap pembantu tadbir sekolah ke jawatan tetap

Setiausaha Agung NUTP, Harry Tan Huat Hock (tengah) dan bekas pembantu tadbir, Siti Syarliza Md Jiwa (kiri) ketika sidang media di Wisma NUTP, hari ini.

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) hari ini menggesa Kementerian Pendidikan menyerap pembantu tadbir dan pembantu guru berstatus sambilan serta pekerja sambilan harian (PSH) di Kedah dan Melaka, ke dalam perkhidmatan awam.

Setiausaha Agung NUTP, Harry Tan Huat Hock, berkata, pihaknya mendapat rayuan daripada kumpulan Gred N17 dan N19 itu agar disambung perkhidmatan mereka susulan ia ditamatkan pada 30 Nov tahun lalu.

“Namun amat mengecewakan apabila dimaklumkan jawatan tersebut tidak akan disambung lagi lagi pada 2020.

“Pihak NUTP merayu kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad merangkap pemangku menteri pendidikan untuk memberikan pertimbangan kemanusiaan agar mereka diberi ‘sf landing’ tempoh perkhidmatan mereka,” katanya dalam sidang media di Wisma NUTP bersama kira-kira 30 bekas PHS di 2 negeri berkenaan.

Katanya, perkhidmatan pembantu tadbir dan pembantu guru sambilan itu amat penting bagi mengurangkan beban guru di sekolah daripada melakukan kerja pengkeranian.

Harry juga berharap Mahathir melihat kembali keperluan berkenaan dan memberi sentuhan kemanusiaan terhadap kumpulan terbabit.

Bekas pembantu tadbir, Siti Syarliza Md Jiwa dari SK Lanai, Kuala Ketil Kedah ketika ditemui berkata perkhidmatannya dan rakan-rakan masih diperlukan oleh guru meskipun sudah ditamatkan kontrak, tahun lalu.

Katanya, terdapat guru dan pihak sekolah yang memanggil mereka untuk kembali berkhidmat di sekolah dan membayar gaji mereka menggunakan wang saku sendiri dengan kadar bayaran RM30 sehari.

“Terutama sekali pada bulan Dis dan Jan di mana sekolah menjadi terlalu sibuk dengan urusan pendaftaran murid darjah 1 dan tingkatan 1.

“Ketika inilah perkhidmatan kami benar-benar diperlukan,” katanya sambil menambah beliau sudah berkhidmat di sekolah itu lebih 7 tahun.