Pahang nafi dakwaan jangkitan koronavirus di FB

Gambar Bernama.

KUANTAN: Pengarah Kesihatan Pahang Dr Bahari Awang Ngah hari ini menafikan dakwaan terdapat satu jangkitan Koronavirus Novel 2019 (2019-nCoV) yang dikatakan dirawat di Hospital Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA).

Beliau berkata dakwaan yang dimuat naik dalam laman Facebook adalah tidak benar dan mengesahkan tiada sebarang kes disyaki koronavirus direkodkan di mana-mana hospital di negeri ini.

“Siasatan kami mendapati pesakit terlibat merupakan warganegara Malaysia dan telah menerima rawatan kerana mendapat jangkitan virus korona yang biasa.

“Pesakit juga tiada kaitan dengan perjalanan ke Wuhan mahupun China dalam tempoh 14 hari sebelum jatuh sakit,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Bahari berkata semua ujian makmal bagi pengesahan berhubung penyakit itu dijalankan di makmal Institut Penyelidikan Perubatan (IMPR) dan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK).

Beliau meminta orang ramai untuk berhati-hati dan tidak menularkan berita tidak sahih berhubung penyakit itu yang boleh menimbulkan kekeliruan dan panik dalam kalangan masyarakat.

“Pihak admin laman Facebook itu juga mengeluarkan kenyataan memohon maaf atas kesilapan memuat naik hantaran itu yang mengakibatkan kekeliruan di laman sosial berkenaan,” katanya.