Parti Sabah bimbang wujud Projek IC 2.0 selepas PSS batal

Lambakan pendatang asing tanpa izin menjadi masalah utama di Sabah.

KOTA KINABALU: Tindakan dan kenyataan menteri-menteri kerajaan setakat ini menunjukkan keinginan mereka untuk membiarkan pendatang asing tanpa izin terus tinggal di Sabah, kata bekas ketua menteri Sabah.

Presiden Parti Progresif Sabah (SAPP) Yong Teck Lee berkata beliau percaya kerajaan akan meneruskan formula baru selepas Pas Sementara Sabah (PSS) dibatalkan.

“Terdapat kebimbangan umum bahawa PSS akan digantikan dengan satu lagi tindakan pemberian kewarganegaraan secara senyap-senyap dan tanpa kata-kata,” kata Yong, merujuk “Projek IC” semasa pemerintahan pertama Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.

“Projek IC” atau “Projek M” adalah nama yang digunakan untuk menggambarkan dakwaan di mana kewarganegaraan diberikan kepada pendatang asing tanpa izin di Sabah untuk mengubah corak demografi negara pada 1990-an.

Yong berkata beberapa menteri baru-baru ini menyerang pembangkang dan aktivis yang menentang PSS, malah Timbalan Menteri Dalam Negeri Azis Jamman “memberi alasan” bahawa kerajaan Filipina enggan menerima kembali warganegaranya.

Beliau berkata tindakan dan kenyataan ini menunjukkan corak yang konsisten bahawa kerajaan tidak berniat untuk menghantar pendatang asing tanpa izin kembali ke negara asal mereka.

“Jadi, bagaimana tiba-tiba semua justifikasi dan alasan untuk PSS dilupakan sekarang? Atau, apakah rancangan lain seperti Projek IC 2.0 dirancang?” soal Yong sambil menambah kerajaan perlu memberi jaminan lanjut bahawa ia tidak akan memberikan kewarganegaraan kepada pendatang asing tanpa izin di Sabah.

Kerajaan pimpinan Warisan mengumumkan ia tidak akan melaksanakan PSS susulan kekalahan parti itu pada pilihan raya kecil Kimanis pada 18 Jan.

Parti pembangkang menggunakan isu PSS, mendakwa ia merupakan cubaan gabungan pemerintah Warisan-Pakatan Harapan-Upko untuk memberikan MyKad kepada pendatang asing di Sabah.

Sebelum ini, Kementerian Dalam Negeri merancang untuk mengedarkan 136,055 PSS bagi menggantikan bagi menggantikan kad burung-burung, sijil banci dan kad pelarian IMM13.