Tiada rekod rasmi anak Indira yang hilang, kata kumpulan ancam saman KPN

Pengerusi INGAT, Arun Dorasamy (kanan) bersama pegawai komunikasi Bukit Aman, Faizal Samsuddin, sambil diperhatikan peguam Rajesh Nagarajan dan Sachpreetraj Singh Sohanpal.

KUALA LUMPUR: Kumpulan sokongan untuk Indira Gandhi, wanita Hindu yang diberi hak penjagaan ke atas anak perempuannya yang dibawa lari oleh bekas suaminya, mengancam akan membuat saman RM100 juta terhadap ketua polis negara sekiranya polis gagal menjelaskan kenapa mereka tidak dapat mengesan Prasana Diksa untuk disatukan dengan ibunya.

Kumpulan Indira Gandhi Action Team (INGAT) juga berkata terdapat kebimbangan mengenai keselamatan Prasana kerana tiada rekod kerajaan tentangnya.

“Apa jadi pada dia? Kami harap dia masih hidup. Adalah wajar kes ini dikelaskan semula sebagai kes anak hilang,” kata jurucakap INGAT, Arun Dorasamy, dan menambah tiada rekod gadis itu dimasukkan ke mana-mana sekolah.

“Juga tiada rekod imunisasi dan tiada rekod si bapa keluar negara. Di mana dia?” soalnya.

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador ketika ditanya pada sidang media hari ini berkata polis sedang mengusahakan penyelesaian “happy ending” bagi menjaga kebajikan kanak-kanak itu.

Hamid bagaimanapun tidak beritahu adakah Prasana sudah ditemui.

Arun, yang bertemu pegawai dari Cawangan Komunikasi Korporat Bukit Aman hari ini berkata, pasukannya tiada pilihan melainkan memulakan tindakan undang-undang.

“Seorang ibu menunggu selama 11 tahun. Berapa lama lagi dia perlu tunggu?” katanya kepada pemberita di Bukit Aman.

“Kami memohon KPN bertemu kami secepat mungkin.”

Beliau berkata pasukannya akan membuat 2 tindakan undang-undang bulan depan, menuntut RM100 juta atas penderitaan dan ganti rugi lain akibat ketidakgiatan polis mengesan Prasana.

Muhammad Ridhuan Abdullah bersama Prasana Diksa dalam foto yang diberi kepada media.

Pada 2016, Mahkamah Persekutuan mengarahkan polis mengesan bekas suami Indira, Muhammad Ridhuan Abdullah. Susulan itu, satu pasukan petugas khas ditubuhkan polis.

Prasana berusia 11 bulan ketika Ridhuan mengambilnya dari Indira pada 2009, sejurus selepas dia memeluk Islam.

Langkah Ridhuan menukar agama anak mereka mencetuskan perdebatan mengenai penukaran agama kanak-kanak secara sebelah pihak, sebelum Mahkamah Persekutuan memutuskan pada 2018 bahawa tindakan Ridhuan menyalahi undang-undang.

Arun hari ini mempersoalkan komitmen Hamid membawa pulang Prasana.

“Kami juga berharap KPN akan bertemu Indira dan polis dalam memberi maklumat terkini kepadanya mengenai tindakan yang diambil pasukan petugas khas itu,” katanya, dan menambah Indira “tekad mendapatkan kembali anaknya”.