Zuraida dakwa belum terima surat saman Saifuddin

Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin dan Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail.

PETALING JAYA: Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin hari ini mengesahkan beliau masih belum menerima surat saman yang difailkan Saifuddin Nasution Ismail berhubung dakwaan fitnah yang dilakukannya terhadap setiausaha agung PKR itu.

“Saya tidak terima surat yang disebutkan sehingga ke hari ini,” katanya kepada FMT.

Zuraida berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Saifuddin bahawa menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu bukan sahaja menerima surat tunjuk sebab daripada parti, malah turut menerima surat saman daripadanya.

Saifuddin berkata, surat tunjuk sebab itu dikeluarkan oleh Lembaga Disiplin parti, manakala surat saman terhadap Zuraida dikeluarkan atas kapasiti peribadi kerana mengeluarkan pertuduhan fitnah terhadapnya.

PKR memberi tempoh selama 14 hari kepada Zuraida bermula 18 Jan lalu untuk memberi surat tunjuk sebab berhubung ucapannya di satu majlis makan malam pada 8 Dis lalu, yang didakwa menghina ahli parti dan mendedahkan butiran perbualannya dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Majlis itu, yang turut dihadiri Timbalan Presiden Mohamed Azmin Ali, diadakan selepas kongres nasional tahunan PKR, yang menyaksikan pergaduhan antara beberapa kumpulan pemuda dan ketidakpuasan hati Azmin dan sekutunya terhadap ucapan perwakilan.