Zuraida serah surat tunjuk sebab kepada PKR esok

Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin.

PETALING JAYA: Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin dijangka menyerahkan surat tunjuk sebab kepada lembaga disiplin parti itu, tengah hari esok.

Dalam satu jemputan media yang dihantar lewat petang tadi, Zuraida dikatakan akan menyerahkan surat penjelasan tersebut pada jam 12.30 hari di Ibu Pejabat PKR.

Sementara itu, satu perhimpunan solidariti ke atas Zuraida akan diadakan serentak di 10 negeri pada waktu yang sama beliau menyerahkan surat tersebut.

Negeri yang terlibat adalah Kelantan, Terengganu, Pahang, Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Melaka, Perak, Negeri Sembilan dan Johor.

Terdahulu, PKR mengeluarkan surat tunjuk sebab dan memberi 14 hari kepada Zuraida untuk membuat penjelasan berhubung ucapannya di sebuah hotel pada Dis lalu.

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, lembaga disiplin akan membuat keputusan selepas mendengar penjelasan menteri perumahan dan kerajaan tempatan itu.

Menteri perumahan dan kerajaan tempatan itu mendakwa penilaian Anwar dilihat terjejas akibat pengaruh “budak pampers” dan “gengster” dalam parti yang merujuk Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil serta Ketua PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.