Koronavirus ragut 131 nyawa

Anggota perubatan menjalankan saringan kesihatan ke atas orang ramai di China. (Gambar AP)

WUHAN: Angka korban penularan wabak koronavirus meningkat kepada 131 dengan pihak berkuasa di wilayah tengah Hubei melaporkan 25 kematian terbaru dan tambahan 840 kes pada Rabu.

Ini menjadikan lebih 5,300 kes dijangkiti virus itu yang disahkan sehingga kini, berdasarkan statistik kerajaan pusat.

Sementara itu, Jepun membawa pulang kira-kira 200 warganegaranya dari bandar itu dan Washington memindahkan kira-kira 240 rakyatnya.

Lebih 50 juta orang dihalang meninggalkan Wuhan dalam usaha menghentikan virus itu menular ke bandar lain di China dan negara lain.

Perancis juga berhasrat memindahkan rakyatnya dari bandar itu dalam tempoh beberapa hari.

Presiden China, Xi Jinping menyifatkan virus itu “syaitan” ketika rundingan dengan ketua Pertubuhan Kesihatan Dunia di Beijing pada Selasa dan berikrar akan memberi perkembangan mengenai wabak itu “tepat pada masanya”.