KTMB sasar hasil pengiklanan, sewa mesin naik 30% pada 2030

KTMB akan memfokuskan segmen bukan tambang untuk memacu pertumbuhan syarikat pada tahun ini kerana pertumbuhan pendapatan daripada segmen tambang dijangka mendatar.

KUALA LUMPUR: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menyasarkan jumlah pendapatan daripada segmen bukan tambang meningkat kepada 30% pada 2030, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kamarulzaman Zainal.

Katanya, ketika ini, pendapatan segmen itu merangkumi 3% daripada jumlah pendapatan KTMB.

Beliau berkata, pihaknya akan memberi tumpuan kepada segmen bukan tambang untuk memacu pertumbuhan syarikat itu pada tahun ini berikutan pertumbuhan pendapatan daripada segmen tambangnya dijangka mendatar.

“Antara segmen bukan tambang yang akan diberi perhatian ialah aktiviti pengiklanan dan perniagaan sewa jentera untuk penyelenggaraan trek kereta api.

“KTMB juga akan melihat peluang dari segi pendapatan melalui latihan yang disediakan di Akademi KTMB (MyRA) di Batu Gajah, Perak dan perkhidmatan katering dalam Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) serta dalam servis tren lain.

“Kita juga mungkin melihat dari segi penyewaan mesin yang ada di bawah inventori KTMB seperti mesin penyelenggaraan trek,” katanya pada sidang media sempena 100 hari memegang jawatan ketua pegawai eksekutif hari ini.

Laporan Ketua Audit Negara Siri 2 2018 yang dikeluarkan pada bulan lalu menyatakan kerugian terkumpul KTMB sehingga 31 Dis 2018 berjumlah RM2.829 bilion.

Penemuan audit mendapati kerugian itu antaranya kerana KTMB belum bebas sepenuhnya membuat keputusan khasnya berkaitan operasi syarikat dan penggunaan aset.

Audit turut mendapati kebergantungan KTMB sepenuhnya hanya kepada hasil tambang rel secara tidak langsung menyumbang kepada kedudukan kewangan kurang stabil.

Sementara itu, Kamarulzaman berkata, KTMB akan memperkenalkan sistem transaksi tanpa tunai secara menyeluruh untuk semua urusan pembelian tiket bermula pertengahan tahun depan.

Pihaknya sedang berbincang dengan penyedia e-dompet utama negara untuk mengenal pasti sistem sesuai.

“Inisiatif tanpa tunai ini akan membantu operasi berjalan lebih lancar dan memudahkan pelanggan menggunakan perkhidmatan kami.

“Buat masa ini, inisiatif tanpa tunai hanya melibatkan Kad Komuter Link dan Touch n Go, dan ia hanya merangkumi 20 % daripada keseluruhan transaksi penjualan tiket.”