Mahkamah tolak permohonan ikat jamin exco dituduh sokong LTTE

(Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini membuang permohonan ikat jamin oleh Exco Melaka, G Saminathan yang berdepan 2 tuduhan berkaitan kumpulan militan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Pesuruhjaya Kehakiman Ahmad Shahrir Mohad Salleh berkata kerajaan mengelaskan LTTE sebagai kumpulan pengganas.

“Menteri dalam negeri belum mengeluarkan LTTE daripada warta,” katanya.

Pada 20 Jan, Saminathan, diwakili peguam Harshaan Zamani, mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan memiliki barangan berkaitan LTTE dan memberikan sokongan kepada kumpulan militan itu.

Adun Gadek itu dituduh menyokong kumpulan militan itu pada satu acara di Dewan Kasturi Air Keroh, Jalan Utama, Taman Ayer Keroh Heights, Melaka pada 28 Nov 2018.

Beliau juga didakwa memiliki barangan berkaitan kumpulan itu dalam telefon bimbitnya di pejabat exco perpaduan, sumber manusia dan hal ehwal pengguna, di pejabat ketua menteri, di Kompleks Seri Negeri, Melaka pada 10 Okt 2019.