Malaysia mahu bawa pulang rakyat terkandas di Hubei

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengumumkan rancangan membawa pulang rakyat Malaysia pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet di Perdana Putra hari ini. (Gambar Bernama)

PUTRAJAYA: Malaysia mahu membawa pulang rakyat yang sihat yang terkandas di wilayah Hubei, China di mana letaknya bandar Wuhan yang menjadi pusat wabak koronavirus.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata perkara itu diputuskan Kabinet hari ini, dan Putrajaya akan berbincang dengan Beijing untuk menjayakan rancangan itu.

China mengenakan sekatan perjalanan keluar dari bandar Wuhan dan wilayah Hubei susulan peningkatan kes jangkitan wabak koronavirus.

“Kita bincang dengan kerajaan China supaya rakyat Malaysia yang tidak sakit boleh balik,” katanya, dan menambah Malaysia mahu menghantar pesawat untuk mengeluarkan seramai 78 rakyat yang terkandas di wilayah itu.

“Kalau mereka benarkan pesawat kita masuk, kita akan bawa masuk bekalan makanan dan topeng muka,” katanya.

Mahathir turut memaklumkan rakyat yang dibawa pulang akan dikuarantin selama 14 hari sebelum dibenarkan balik ke rumah masing-masing.

“Mereka akan diperiksa kalau ada sakit koronavirus,” katanya.

Mengenai kedatangan warga asing pula, pihak berkuasa tidak akan membenarkan pelancong dari Hubei masuk ke Malaysia sama ada sakit atau tidak.

“Tapi pelawat dari tempat lain di China boleh masuk. Kita akan pantau perkara ini dengan melihat kepada pasport mereka dan jika mereka dari Hubei kita akan halang mereka,” katanya.

Mengenai warga asing yang berada di Malaysia, rakyat China yang berada di sini ketika ini tidak dianggap berbahaya.

“Mereka datang sebelum kes ini berlaku,” katanya, dan menambah pihak berkuasa akan membenarkan warga Hubei di sini keluar negara.

“Kita tak tahu berapa ramai yang ada di sini,” katanya.