Pasukan dari China tarik diri LTdL kerana koronavirus

LTdL 2020 akan bermula 6 Feb ini di Kuching dan berakhir di Langkawi. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Pasukan yang berpangkalan di China, Hengxiang Cycling menarik diri daripada perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020 yang bermula 6 Feb ini sebagai langkah berjaga-jaga ekoran penularan wabak koronavirus.

Ketua Pegawai Operasi Human Voyage, Shahaizereen A Hamid berkata, kekosongan yang ditinggalkan Hengxiang Cycling bagaimanapun tidak menjejaskan perlumbaan dan penganjur akan mengumumkan penggantinya dalam masa terdekat.

“Memang ada lagi pasukan dari China akan bertanding. Satu pasukan sudah tarik diri kelmarin disebabkan koronavirus. Sekarang kami tengah tunggu 2 lagi pasukan dari China dan satu dari Hong Kong untuk pengesahan sama ada akan turut serta atau tidak,” katanya semalam.

Beliau berkata, sebagai penganjur LTdL 2020, Human Voyage akan bekerjasama dengan beberapa kementerian, terutama Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menjalankan pemeriksaan terperinci di lapangan terbang bagi memastikan pelumba, pegawai mahupun petugas media yang tiba dari China bebas virus itu.

Katanya, pasukan dan petugas media yang tiba dari China akan menjalani pemeriksaan rapi dan dikuarantin di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu terlebih dahulu sebelum dibenarkan keluar.

“Selain wakil dari China, penganjur juga akan memantau perkembangan semasa semua pegawai, pelumba dan petugas dari dalam dan luar negara sebagai langkah keselamatan tambahan.

“Mereka juga diminta membuat saringan kesihatan terlebih dahulu dan laporan itu akan dihantar kepada kami (penganjur) untuk diserahkan kepada KKM. Kami akan memastikan perlumbaan LTdL 2020 berlangsung tanpa sebarang kebimbangan, khususnya melibatkan isu kesihatan dan keselamatan.”

Mengenai penganjuran LTdL edisi ke-25 tahun ini, Shahaizereen berkata, penganjur tidak mempunyai sebarang masalah berkaitan dana.

Katanya, penganjuran kali ini menelan belanja lebih RM18 juta dengan RM8 juta dana kerajaan, manakala RM10 juta lagi melalui penajaan.

Sehingga kini, 22 pasukan termasuk satu pasukan profesional dan 5 pasukan profesional benua mengesahkan penyertaan mereka.

LTdL 2020 melibatkan 8 peringkat perumbaan yang bermula di Kuching dan berakhir di Langkawi, selain 2 perlumbaan tambahan, iaitu Kriterium Antarabangsa Kota Kinabalu pada 6 Feb dan Malaysian International Classic Race di Langkawi pada 15 Feb ini.