Saya dipukul, 3 bulan tak dibayar gaji, kata pekerja warga India

Mohamad Yusof menunjukkan kesan lebam di badannya.

KUALA LUMPUR: Seorang warga India yang bekerja di sebuah restoran di Leboh Ampang, mendakwa dia diserang atas arahan bekas majikan yang belum menjelaskan lagi gajinya selama 3 bulan.

Pemilik restoran Karaikudi Chettinadu Mess, M Ganesan bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut.

Berkongsi ceritanya dalam video yang disiarkan di saluran berita atas talian, India Red Pix, Mohamad Yusof, 32, mendakwa dia bekerja “20 jam sehari” di Restoran Karaikudi Chettinadu Mess.

Tidak tahan dengan kerja yang memenatkan dan gaji yang lambat dibayar, Mohamad dari Tamil Nadu, memutuskan untuk berhenti kerja.

Namun ia menjadi lebih teruk.

“Saya dibawa ke sebuah kedai lain di Masjid India (Kuala Lumpur) oleh 2 individu di mana saya dipukul,” katanya dalam video itu.

“Mereka menyapu ‘minyak kapak’ ke atas badan saya sambil memukul saya. Dan mereka menyuruh saya ketawa ketika mereka memukul saya.”

Mohamad juga mendakwa dia dihantar pulang ke India selepas klip serangan itu tersebar.

Dia juga mendakwa serangan itu diarahkan bekas majikannya.

Mohamad menuntut agar tindakan diambil terhadap bekas majikannya dan mereka yang menyerangnya.

Dia juga menuntut pampasan serta gajinya yang belum dibayar.

Sementara itu, kumpulan hak asasi manusia, Malaysia Global Rescue Humanity berkata pihaknya membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi pada Ahad berhubung kes itu.

Presidennya, T Kamalanathan berkata dia menerima banyak mesej melalui WhatsApp dan e-mel daripada warga yang prihatin, memintanya membantu Mohamad.

Dia juga mendakwa Mohamad tidak sedarkan diri selepas dipukul di sebuah bilik di mana dia dikurung selama 5 jam.

Kamalanathan juga berkata pengalaman pahit Mohamad bukan insiden terpencil kerana dia telah mengendalikan kira-kira 2,000 kes serupa dalam tempoh 13 tahun lalu.

“Ini berlaku kerana tidak ada yang membantu mereka. Mangsa tidak akan membuat laporan polis kerana mereka tidak tahu undang-undang dan takut,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Ganesan, ketika dihubungi, menafikan tuduhan Mohamad mengatakan Mohamad mempunyai masalah disiplin.

Dia juga mendakwa Mohamad suka menggangu wanita, termasuk transgender.

“Saya menangkapnya beberapa kali dan memberi amaran kepadanya.”

Ganesan juga berkata dia telah memberi kenyataan kepada polis berhubung kes itu.