Suspek koronavirus selamat lahirkan anak

Dalam kebimbangan tentang koronavirus yang semakin merebak dan serius berikutan jumlah kematian yang meningkat, seorang wanita yang sebelum ini sarat mengandung 37 minggu selamat melahirkan anak.

Bayi lelaki tersebut dilahirkan di sebuah hospital di Wuhan, China, semalam.

Menurut Timbalan Pengarah Jabatan Ostetrik dan Ginekologi Wuhan Union Hospital, Zhao Yin, wanita berusia 27 tahun itu terpaksa melahirkan bayinya menerusi pembedahan “caesarean”.

“Ketumpatan oksigen dalam darah mangsa tidak begitu baik, jadi dia tidak boleh melahirkan bayinya seperti biasa,” kata Zhoa Yin.

Tambahnya, bayi lelaki seberat 3.1 kilogram itu berada dalam keadaan sihat ketika dilahirkan.

Wanita warganegara China itu disyaki dijangkiti koronavirus selepas mengalami simptom seperti demam dan batuk ketika ditahan dan kini ditempatkan di wad pengasingan di hospital berkenaan.

Hari ini, angka korban penularan wabak koronavirus meningkat kepada 131 dengan pihak berkuasa di wilayah tengah Hubei melaporkan 25 kematian terbaru dan tambahan 840 kes.

Ini menjadikan lebih 5,300 kes dijangkiti virus itu yang disahkan sehingga kini.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]