Teringat insiden SB ‘berang’, Yusoff masih tunggu tindakan terhadap Farhash

KUALA LUMPUR: Lelaki di sebalik dakwaan serangan seksual terhadap Anwar Ibrahim berkata dia sedar cabaran yang bakal dihadapinya ketika berbuat demikian sambil mengingat kembali satu insiden kira-kira 3 bulan sebelum memfailkan laporan polis terhadap presiden PKR itu Disember lalu.

Muhammed Yusoff Rawther teringat satu kejadian yang menurutnya berlaku di Balai Polis Seapark di Petaling Jaya, semasa dia memberi keterangan mengenai laporan polis berasingan terhadap setiausaha politik Anwar, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, pada September tahun lalu.

Menurutnya, sejak pertemuan itu dengan polis berhubung dakwaan Farhash membelasahnya pada Mei tahun lalu, tiada sebarang perkembangan terkini daripada polis atau Jabatan Peguam Negara.

“Jika ini yang berlaku terhadap aduan melibatkan Farhash, saya boleh menjangkakan apa yang berlaku ke atas aduan saya terhadap bosnya,” kata Yusoff kepada FMT, merujuk kepada Anwar.

“Saya diserang secara fizikal, dipukul dan dicederakan Farhash, seorang pembodek Anwar,” katanya, yang ternyata masih marah dengan kejadian itu, terutama di sebalik apa yang didakwanya kebisuan pihak berkuasa sejak insiden di pejabat Anwar pada 16 Mei 2019.

“Sudah 8 bulan sejak laporan polis itu dibuat. Saya cedera teruk, tangan kanan saya lemah dan sakit-sakit. Saya perlu pembedahan dan pihak berkuasa gagal ambil tindakan terhadap penyerang saya, orang yang saya sudah pun kenal pasti,” kata Yusoff.

Menurutnya, kejadian itu berlaku pada 16 Mei, sehari sebelum kematian datuknya, aktivis pengguna Pulau Pinang terkenal, SM Mohamed Idris, tahun lalu.

Yusoff pada ketika itu sebahagian daripada kakitangan Anwar di pejabat ahli Parlimen Port Dickson itu, di sebuah banglo di Bukit Gasing, Petaling Jaya.

Ditanya kenapa Farhash menyerangnya, Yusoff menjawab: “Bagaimana nak sifatkan orang yang sering meluru ke ruang kerja kamu, tengking-tengking dan serang apabila tidak dipedulikan?”

Menurutnya, dia segera memaklumkan Anwar mengenai serangan itu, yang memintanya “jangan beritahu orang lain”.

Satu laporan perubatan dari Hospital Pantai yang ditunjukkan kepada FMT menyatakan dia mengalami kecederaan dan koyakan pada bahu, yang memerlukan pembedahan RM40,000.

Yusoff berkata Anwar pada awalnya berjanji akan menanggung kos pembedahan itu.

“Selepas Anwar tidak tunaikan janjinya, walaupun selepas bertemu saya di pengebumian datuk saya keesokannya (17 Mei), saya buat satu laporan polis terhadap Farhash pada 26 Mei di ibu pejabat polis Petaling Jaya.”

Yusoff berkata tindakan itu tidak disenangi Anwar.

“Itu bukan keputusan betul,” katanya teringat kata-kata Anwar kepadanya.

Dalam 4 bulan seterusnya, tiada perkembangan terkini daripada polis, kata Yusoff.

“Pegawai penyiasat tidak hubungi saya dan setiap kali saya hubunginya untuk bertanyakan status siasatan, dia mengelak daripada menjawab, mengatakan siasatan belum selesai.”

Ketika itulah dia membuat keputusan untuk mengambil tindakan saman sivil terhadap Farhash, menuntut pampasan bagi kecederaan dialaminya. Yusoff turut memfailkan saman malu terhadap setiausaha akhbar Anwar, Tunku Nashrul Tunku Abaidah yang menuduhnya mempunyai masalah disiplin dan dadah.

‘SB’ berang

Yusoff berkata, selepas saman sivil itu difailkan, dia sedar kekurangannya: pengaruh politik.

Bagaimanapun, berita mengenai tindakan undang-undang terhadap Farhash mungkin menyebabkan polis mula bertindak terhadap laporan polis yang dibuat 4 bulan sebelumnya, apabila Yusoff diminta memberi keterangan pada 24 Sept lalu.

“Saya rasa tidak sedap hati, tetapi saya pergi bertemu pegawai penyiasat itu pada masa yang ditetapkan,” kata Yusoff.

Ketika keterangannya diambil di Balai Polis Seapark di Petaling Jaya, Yusoff berkata seorang pegawai “Special Branch” (Cawangan Khas) meluru ke dalam bilik, mengambil failnya daripada pegawai penyiasat dan memberitahunya: “Siapa suruh hang buat saman sivil, kan polis dok siasat?”

“Dia kemudian keluar dari bilik itu dan saya terdengar dia bercakap dengan telefon, ‘Jap, dia baru sampai, tengah tengok fail dia sekarang’,” kata Yusoff.

Yusoff berkata dia ada butiran identiti lelaki itu.

“Saya akan beritahu di mahkamah atau jika diminta pihak berkuasa.”

Kini, Yusoff masih menunggu penjelasan mengenai keputusan Jabatan Peguam Negara tidak mendakwa Anwar berhubung laporan serangan seksual.

Tetapi apa yang membingungkan adalah laporannya terhadap Farhash “masih tidak terjawab” walaupun bukti dan keterangan sudah diberikan, termasuk satu laporan perubatan.

“Pada saya nampak seperti perkara ini boleh berlaku kalau ada campur tangan daripada individu-individu tertentu, mungkin daripada orang politik,” katanya tanpa menamakan sesiapa.

Farhash dilaporkan menolak tuduhan Yusoff. Minggu lepas, beliau memfailkan saman fitnah terhadap Yusoff.

Perkembangan itu kira-kira 2 minggu selepas Jabatan Peguam Negara mengumumkan tiada kes terhadap Anwar, atas alasan “percanggahan fakta yang material” dan “tiada keterangan cukup” dalam dakwaan serangan seksual Yusoff.

Laporan polis dibuat Yusoff pada awal Disember lalu membawa kepada siasatan jenayah oleh Bukit Aman di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan, iaitu melakukan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatan.

Yusoff berkata dia tidak akan berputus asa dalam usahanya mendapatkan keadilan dalam kes melibatkan Anwar dan Farhash.

“Saya menggesa polis dan Jabatan Peguam Negara berterus-terang mengenai siasatan itu, beritahu kalau ada sebarang campur tangan dan jelaskan kepada seorang penyerang belum dihadapkan ke muka pengadilan.

“Adakah saya harus menderita kerana saya tiada hubungan politik?” soalnya.

FMT sedang mendapatkan respons Anwar dan Farhash, serta Jabatan Peguam Negara dan polis.