Tiada bukti kukuh untuk saman Farhash, kata Yusoff Rawther

Yusoff Rawther mendakwa Setiausaha Politik Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak menyerangnya.

PETALING JAYA: Muhammed Yusoff Rawther yang mendakwa Setiausaha Politik Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak menyerangnya, akhirnya menerima perkembangan mengenai kes itu.

Ia diperoleh selepas dia mempersoalkan kebisuan pihak polis dan Pejabat Peguam Negara dan menyuarakan kebimbangan campur tangan individu mempunyai hubungan politik dalam siasatan kes itu.

Bercakap kepada FMT, Yusoff berkata beliau hanya dimaklumkan oleh pegawai penyiasat bahawa timbalan pendakwa raya (DPP) telah membuat keputusan berhubung kes itu.

“Pada asasnya, mereka berkata tidak ada bukti kukuh untuk memulakan kes ke atas Farhash.”

Awal hari ini, Farhash sekali lagi menafikan tuduhan bahawa dia menyerang Yusoff di pejabatnya tahun lalu.

Farhash, yang menafikan insiden itu berlaku, berkata beliau juga mahukan perkembangan mengenai siasatan polis.

Yusoff yang turut memfailkan laporan berasingan terhadap Anwar atas dakwaan melakukan serangan seksual, memfailkan saman sivil terhadap Farhash pada Sept untuk menuntut pampasan atas kecederaannya.

Minggu lalu, Farhash memfailkan saman fitnah terhadap Yusoff.