Bangunan kosong bertukar hospital dalam 48 jam

Pusat Perubatan Serantau Dabie Mountain mampu menempatkan 1,000 katil bagi merawat pesakit koronavirus.

Seperti yang diketahui umum sebuah hospital “instant” di Wuhan semata-mata mahu menempatkan dan memberi rawatan kepada pesakit koronovirus dibina.

Dan kini sebuah lagi pusat perubatan yang sepatutnya mula beroperasi pada Mei sudah dibuka di sebuah bandar berhampiran Wuhan, lokasi bermulanya wabak berbahaya itu.

Menurut Metro UK, Hospital yang dinamakan sebagai Pusat Perubatan Serantau Dabie Mountain mampu menempatkan 1,000 buah katil dan mula menerima pesakit pada Selasa.

Apa yang menakjubkan, bangunan kosong itu “bertukar rupa” menjadi sebuah hospital dalam tempoh 48 jam selepas hampir 500 pekerja pembinaan termasuk juru elektrik bertungkus lumus bekerja.

Pada asalnya hospital tersebut dijadualkan dibuka pada bulan Mei tetapi dek kerana jumlah pesakit akibat wabak berbahaya itu semakin meningkat, para pekerja berjaya menyiapkannya lebih awal.

Pihak berkuasa tempatan pada mulanya mengumumkan mengenai perkara itu pada Jumaat, dan kerja-kerja pembinaan bermula pada hari Sabtu.

Pada Selasa, bangunan tersebut telah dilengkapi dengan bekalan air, elektrik dan internet, dan bersedia untuk menerima pesakit.

Di Wuhan sendiri, kerja-kerja pembinaan sebuah hospital besar sedang giat dijalankan, di mana ia bertujuan untuk menangani wabak koronavirus.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]