Cuaca kering diramal sehingga Jun, apa boleh dibuat untuk jimatkan elektrik?

Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan cuaca agak kering akan berlaku untuk tempoh yang agak lama iaitu sehingga Jun.

Ini bermakna beberapa persediaan harus dibuat dalam menjimatkan elektrik.

Persediaan ini harus dilakukan bagi mereka yang tinggal di bahagian utara dengan mengambil beberapa langkah optimum untuk menjimatkan elektrik terutamanya dalam penggunaan penghawa dingin.

Beberapa tip dari pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) mungkin anda boleh amalkan iaitu :

1. Menyenggara pendingin hawa bagi memastikan ia beroperasi pada tahap optimum.

2. Menukar atau membersihkan penapis pendingin hawa bagi memaksimumkan proses penyejukan. Penapis yang kotor menghalang aliran udara dan mengurangkan kecekapan pendingin hawa.

3. Melaraskan suhu pendingin hawa antara 24 ke 26 darjah Celcius.

4. Memastikan semua pintu, tingkap dan lubang penyebaran udara tertutup rapi bagi supaya hawa sejuk tidak keluar dari bilik.

5. Menggunakan kipas bagi membantu menyejukkan hawa bilik agar suhu pendingin hawa dapat dilaraskan lebih tinggi bagi menjimatkan tenaga. Namun begitu, pastikan kipas tidak dibiarkan terpasang di dalam bilik yang kosong.

Siaran media yang dikeluarkan TNB pada 31 Januari 2020.

Namun sekiranya anda berhasrat membeli atau menukar pendingin hawa, pengguna dinasihatkan memilih saiz dan kapasiti (horsepower) yang tepat, bersesuaian dengan saiz ruang bilik.

Antara langkah lain yang boleh diambil untuk menjimatkan penggunaan elektrik pada musim panas ialah:

1. Mengurangkan penggunaan pengering pakaian. Ambil kesempatan cuaca panas untuk mengeringkan pakaian secara semulajadi.

2. Mengelakkan mencuci pakaian menggunakan air panas, melainkan perlu. Cucian menggunakan air bersuhu biasa (30 darjah Celcius) sudah memadai.

3. Menggunakan lampu LED.

Tip lain yang anda juga boleh gunakan, jika anda ingin membeli peralatan elektrik baru, pastikan anda memilih model yang memiliki bilangan bintang paling tinggi pada “Label Kecekapan Tenaga” (Energy Efficiency Label).

Ini kerana lebih banyak bintang, lebih cekap tenaga alat itu.

Jabatan Meteorologi Malaysia telah mengeluarkan kenyataan mengenai ramalan cuaca agak kering di Semenanjung, terutama di negeri-negeri utara yang dijangka berlarutan sehingga penghujung Mac.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]