8 syarikat kemuka tender urus kereta rasmi kerajaan

Ketua Setiausaha Perbendaraan, Ahmad Badri Mohd Zahir berkata, keutamaan diberikan kepada kereta Proton bagi kegunaan menteri serta timbalan menteri, bukannya Toyota Vellfire seperti digembar-gemburkan.

KUALA LUMPUR: Lapan syarikat mengemukakan Permintaan bagi Cadangan (RFP) untuk menguruskan kumpulan kenderaan kerajaan dan ia melalui beberapa peringkat penilaian, termasuk teknikal dan komersial.

Ketua Setiausaha Perbendaraan, Ahmad Badri Mohd Zahir berkata, proses rundingan sedang dilakukan dengan pembida itu untuk memuktamadkan konsesi tersebut dan keutamaan diberikan kepada kereta Proton bagi kegunaan menteri serta timbalan menteri, bukannya Toyota Vellfire seperti digembar-gemburkan.

“Jawatankuasa penilaian tender yang dianggotai penjawat awam kanan daripada pelbagai agensi terlibat sebagai penilai, termasuk Jabatan Kerja Raya, Unit Perancang Ekonomi (kini dikenali Kementerian Hal Ehwal Ekonomi) dan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta serta Kementerian Kewangan sebagai peneraju utama, seterusnya telah memilih pembida layak untuk dipertimbangkan sebagai syarikat konsesi baru,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan itu, katanya, keputusan jawatankuasa penilaian tender dibentangkan kepada Kabinet untuk pertimbangan dan kelulusan.

Sejak 30 Okt 1993, konsesi kumpulan kenderaan kerajaan diuruskan Spanco Sdn Bhd berdasarkan perjanjian konsesi antara kerajaan dengan syarikat berkenaan.

Perjanjian itu tamat pada 31 Dis 2018.

Badri berkata, bagi menguruskan kumpulan kenderaan kerajaan kelak, Putrajaya memutuskan syarikat konsesi dipilih melalui RFP yang dilaksanakan secara terbuka.

“Dengan kata lain, tidak ada tender terhad atau pemberian tender secara terus diamalkan,” katanya.