BN perlu teroka formula baru, ubah paradigma, kata Tok Mat

Timbalan presiden Umno Mohamad Hasan berkata, BN mesti luwes, mempunyai keanjalan dan mesti membuang ‘rigidity’ dalam tata kelola operasinya sebagai parti politik.

PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) perlu meneroka for,mula baru dan mengubah paradigma dalam konteks Malaysia yang berubah, dipacu oleh “teknologi disruptif” dan landskap politik yang “amat tidak menentu”.

Timbalan presiden Umno Mohamad Hasan dalam satu kenyataan hari ini berkata, BN mesti luwes, mempunyai keanjalan dan mesti membuang “rigidity” dalam tata kelola operasinya sebagai parti politik.

Beliau juga berkata, jalan sederhana atau ‘the middle path’ harus kekal menjadi tulang belakang ideologi BN kerana percaya bahawa Malaysia hanya boleh ditadbir dengan aman dan adil menggunakan prinsip kongsi kuasa dan konsensus.

“BN tidak harus membiarkan ‘the middle path’ ini dirampas pemilikannya oleh pakatan politik yang lain,” katanya.

Bekas menteri besar Negeri Sembilan itu juga berkata, formula BN++ mungkin merupakan hikmah yang diperlukan, di mana tidak semua perlu menjadi anggota komponen BN untuk bekerjasama dengannya dan rakan BN pula tidak perlulah hanya institusi politik.

“Tiada masalah untuk BN bersekutu dengan pergerakan madani, tokoh berpengaruh dan kesatuan sekerja demi permuafakatan politik berkepentingan nasional.

“Rakan sekutu BN++ bagaimanapun harus menandatangai ‘code of conduct’ bagi membolehkan hubungan pelbagai pihak diuruskan secara berhemah.

“Sama ada BN atau BN ++, Barisan Nasional adalah ‘brand’ politik yang punya keunggulan tersendiri,” katanya.

Mohamad berkata, kekalahan BN dalam pilihan raya umum lepas pernah dialami oleh Perikatan dalam pilihan raya umum 1969 yang kemudiannya melahirkan gabungan politik baru berikutan kemerosotan sokongan yang diterimanya serta kesan peristiwa 13 Mei pada tahun yang sama.

“Parti Perikatan hilang lebih separuh daripada undi popular walaupun mempunyai majoriti untuk membentuk Kerajaan, sementara DAP, Gerakan dan PAS menunjukkan peningkatan sokongan yang ketara.

“Bila berakhirnya tempoh darurat pasca peristiwa Mei 13, Perikatanmemulakan rundingan untuk membentuk kerjasama politik dengan Gerakan dan PPP.

“Kedua-duanya menyertai Perikatan pada 1972 dan disusuli oleh PAS. Barisan Nasional didaftarkan pada 1974 sebagai kerjasama politik 9 parti.”

Beliau berkata, pada Mei 2018, BN tewas untuk pertama kalinya dalam sejarah politik Malaysia dan ditinggalkan oleh rakan parti komponennya.

“Lumrah politik begitulah. Tiada kawan setia selamanya dan tiada musuh selamanya juga. Hanya UMNO, MCA dan MIC terus bersetia dengan BN,” kata beliau.

Beliau berkata, kekalahan yang dialami oleh Perikatan pada 1969 sekali lagi menghantui BN pada 2018.

“Bezanya Perikatan masih membentuk Kerajaan. BN pada 2018 pula menjadi pembangkang dan DAP menjadi pemenang terbesar pada 2018, sama seperti 1969,” katanya lagi.

Beliau berkata, ramai yang merasakan BN sudah tidak lagi relevan, tetapi terlupa bahawa BN tidak tewas di Sarawak dan Sabah, tetapi pemimpin BN di 2 negeri itu meninggalkan gabungan politik tersebut.

Katanya, setelah hampir 2 tahun BN kini berjaya menyesuaikan dirinya sebagai pembangkang dan dalam beberapa pilihan raya kecil (PRK), ia menang dan menunjukkan lonjakan sokongan.

Namun kata beliau, itu tidak pula bermakna jenama BN telah pulih dan rakyat telah kembali menyokongnya seperti dahulu.

Beliau berkata, kemenangan BN itu disumbangkan oleh beberapa faktor, antaranya kekecewaan rakyat terhadap Pakatan Harapan (PH), kerjasama strategik BN dan PAS dan rakyat mula membandingkan keupayaan BN mengurus negara dengan PH.

“BN terus dengan jenama sederhana dan inklusifnya dan tidak kehilangan semua pengaruh dan ‘goodwill’.

“Malah ia masih dikenang sebagai formula politik yang lebih baik, berjaya dan membuahkan hasil jika dibandingkan dengan PH. Jika kita merasakan BN itu toksik, maka PH dalam 2 tahun, adalah lebih toksik daripada BN,” kata beliau.

“Kerosakan jenama PH adalah lebih parah, cepat dan berganda. Jika kita merasakan BN memerlukan jenama baru, PH memerlukan lebih daripada jenama dan penampilan baru. Jika BN dikatakan formula lapuk, apa yang PH lakukan, semuanya menggunakan formula yang usang dan digunakan BN sebelum ini,” katanya.

Beliau juga berkata, BN adalah jenama yang sinonim dengan Malaysia dan segala kejayaannya dan walaupun ada kekurangan, ia tidak dapat mengatasi jasa, sumbangan dan kejayaannya mencipta Malaysia yang moden.