SC akan siasat dakwaan rasuah terhadap AirAsia, AirAsia X

Suruhanjaya Sekuriti berkata, ia akan menentukan sama ada AirAsia dan AirAsia X melanggar mana-mana undang-undang sekuriti berikutan dakwaan rasuah terhadap 2 syarikat penerbangan tambang murah itu.

PETALING JAYA: Suruhanjaya Sekuriti (SC) hari ini berkata, ia akan memeriksa dakwaan dan menyemak semua keterangan yang ada bagi menentukan sama ada AirAsia dan AirAsia X melanggar mana-mana undang-undang sekuriti berikutan dakwaan rasuah terhadap 2 syarikat penerbangan tambang murah itu.

Pengerusi SC Syed Zaid Albar berkata, ini kerana kedua-dua syarikat penerbangan itu itu disenaraikan di Bursa Malaysia.

“Di bawah (seksyen) 317A Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA), pengarah sebuah syarikat tersenarai awam (PLC) yang tidak mengambil apa-apa tindakan dengan niat untuk menyebabkan kerugian salah kepada PLC atau badan berkaitannya adalah melakukan satu kesalahan yang boleh dijatuhi hukuman penjara dan denda,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu hari ini, Transparency International Malaysia (TI-M) menggesa SC supaya menyiasat AirAsia dan AirAsia X berhubung dakwaan rasuah membabitkan Airbus dan 2 “eksekutif” syarikat penerbangan itu.

Presiden Ti-M Muhammad Mohan berkata, tindakan itu perlu kerana kedua-dua syarikat tersebut merupakan entiti yang disenaraikan.

“Perkara ini adalah kepentingan awam,” katanya dalam satu kenyataan.

Muhammad berkata, 2 syarikat itu juga harus menjalankan siasatan sendiri berhubung dakwaan tersebut.

Dua “eksekutif” AirAsia dan AirAsia X disebut dalam dokumen undang-undang yang menyenaraikan insiden rasuah oleh Airbus bagi mendapatkan kontrak melalui orang tengah untuk menjual pesawatnya di seluruh dunia.

Media Britain, The Telegraph melaporkan, dokumen berkenaan adalah sebahagian daripada penyelesaian bernilai berbilion dolar yang dicapai dengan pihak berkuasa anti-rasuah di Britain, Perancis dan Amerika Syarikat selepas pengeluar kapal terbang Eropah itu mengaku tentang “kewujudan beberapa peringkat amalan rasuah dalam perniagaannya”.

Ia berkata, Airbus menyerahkan lebih 30 juta dokumen kepada penyiasat.

Laporan itu berkata, menurut penyelesaian yang dicapai Airbus bersetuju membayar hampir €1 bilion (RM4.5 bilion) di Britain, €2.1 bilion (RM9.5 bilion) di Perancis dan €530 juta (RM2.4 bilion) di Amerika Syarikat.

Berikutan laporan itu juga, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, ia akan menyiasat dakwaan tersebut dan kini berhubung dengan pihak berkuasa di Britian mengenainya.

Dalam satu kenyataan lewat malam tadi, AirAsia “dengan tegas” menafikan dan menolak semua dakwaan salah laku dan berkata, ia akan bekerjasama dengan SPRM berhubung perkara itu.