Timbalan presiden PBS keluar parti kerana isu kepimpinan

Timbalan presiden PBS Jamilah Sulaiman keluar parti setelah berkhidmat lebih 33 tahun.

KOTA KINABALU: Timbalan presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Jamilah Sulaiman hari ini mengumumkan keluar parti selepas lebih 33 tahun kerana tidak lagi boleh bekerja dengan presiden parti itu Maximus Ongkili, yang juga ahli Parlimen Kota Marudu.

“Ya, sah,” katanya dalam satu pesanan ringkas kepada FMT.

Terdahulu, satu kenyataan yang memaklumkan beliau keluar parti tular di Whatsapp.

Jamilah, bekas senator selama 2 penggal berkata, beliau akan mengemukakan surat peletakan jawatan kepada parti dalam masa terdekat.

Katanya, beliau membuat keputusan itu setelah mengadakan “perbincangan hati ke hati dengan penyokongnya dan ahli setia PBS,” dengan menambah bahawa 17 ahli dari bahagian Sipitang juga keluar parti.

“Selepas menimbangkan pandangan dan perjuangan mereka yang bersama saya dalam PBS selama ini, saya membuat keputusan meletakkan jawatan dan melepaskan semua jawatan dalam parti,” kata ketua bahagian PBS Sindumin itu.

“Saya membuat keputusan ini kerana hilang kepercayaan kepada kepimpinan Ongkili. Beliau pemimpin tidak konsisten yang tidak berpegang pada kata-katanya, tidak bertimbang rasa, mengamalkan pilih kasih dan hipokrit,” katanya dalam satu kenyataan.

Jamilah, yang membantu kempen Umno dalam pilihan raya kecil Kimanis baru-baru ini juga mendakwa beliau tidak boleh bekerja dengan “geng” Ongkili dalam PBS.

“Justeru lebih baik saya meninggalkan parti walaupun ia sukar kerana saya telah berkhidmat selama lebih 33 tahun.

“Buat masa ini, saya mahu berehat daripada politik dan belum membuat keputusan berhubung langkah saya selepas ini,” katanya.

Jamilah merupakan wanita pertama dilantik sebagai timbalan presiden PBS, berdasarkan kuota Bumiputera. Beliau dipilih semula ke jawatan itu pada konvensyen tahunan perwakilan PBS ke-33 pada November 2018.

Dua slot lain diisi oleh Radin Malleh, bagi kuota bukan-Bumiputera dan Yee Moh Chai mewakili kuota orang Cina.

Jamilah adalah Adun Sipitang dari 1990 hingga 1994, pembantu menteri perkhidmatan sosial sewaktu PBS memerintah Sabah dan anggota Dewan Negara dari 2012 hingga 2018.

Beliau berkhidmat di bawah bekas presiden dan pengasas PBS Joseph Pairin Kitingan sehingga beliau bersara selepas pilihan raya umum 2018.