Jangan ganggu Nur Sajat, sarjana Turki terkenal beritahu Putrajaya

Mustafa Akyol menggesa pihak berkuasa tidak mengambil tindakan terhadap Nur Sajat kerana mengerjakan umrah sebagai wanita.

KUALA LUMPUR: Sarjana Turki terkenal, Mustafa Akyol menggesa pihak berkuasa agama di Malaysia tidak menjadikan ahli perniagaan Nur Sajat sebagai sasaran kerana memakai telekung ketika menunaikan umrah di Mekah.

“Hakikatnya Nur Sajat menunaikan umrah menunjukkan beliau setia kepada agamanya,” kata penyokong kebebasan bersuara di dunia Islam itu yang kerap mengkritik Islamis dan sekularis di negaranya, kepada FMT.

“Beliau juga mungkin tidak mengganggu mana-mana jemaah di sekelilingnya di tanah suci. Jadi, kenapa tidak menghormati cara pengenalan dirinya?”

Beliau berkata, umat Islam perlu menerima transgender sebagai sebahagian ummah.

Penulis yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu berkata, dalam konteks ini, korpus Syiah dalam perundangan Islam kelihatan lebih praktikal dalam menangani individu yang berdepan konflik identiti jantina.

“Ulama Syiah mengambil langkah positif dalam perkara ini. Itu sebabnya pembedahan pertukaran jantina bukan saja sah di sisi undang-undang, tetapi digalakkan di Iran.”

Iran yang merupakan negara majoriti pengikut Syiah, ialah satu-satunya negara Islam di Timur Tengah yang memberi hak kepada transgender untuk memiliki identiti jantina mereka.

Pemimpin revolusi Islam di Iran pada 1979, Ayatullah Khomeini, meluluskan fatwa penting pada 1986 yang mengisytiharkan pembedahan pertukaran jantina dan terapi penggantian hormon sebagai prosedur perubatan yang boleh diterima dari segi agama. (Baca selanjutnya di sini).

Nur Sajat mencetuskan kontroversi dengan bertelekung ketika mengerjakan umrah di Mekah.

Sajat atau Muhammad Sajad Kamaruzzaman seperti dalam kad pengenalannya, ialah usahawan transgender terkenal. Kontroversi timbul selepas beliau memuat naik videonya bertelekung ketika di Mekah.

Ia disusuli tindakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof Rawa, memberi amaran beliau akan dikenakan tindakan selepas pulang ke negara.

Agensi pelancongan yang menguruskan umrah Sajat sudah membawa beliau keluar dari tanah suci.

Mujahid berkata, Sajat mencemarkan imej Islam serta hubungan baik Malaysia dengan Riyadh.

Mujahid dan birokrat Islam, termasuk mufti bertegas yang Sajat wajib mengerjakan umrah sebagai lelaki kerana beliau secara rasminya masih seorang lelaki.

Tetapi, Akyol berkata, masyarakat perlu menerima golongan transgender.

“Golongan itu wujud, bukan hanya hari ini, tetapi sejak sekian lama atas sebab-sebab yang kita tidak tahu sepenuhnya.

“Ada orang yang dilahirkan dengan konflik fitrah fizikal dan psikologi.

“Dalam kata lain, mereka mempunyai badan lelaki, tetapi merasakan dirinya seperti wanita atau sebaliknya.

“Saya rasa tindak balas Islam yang betul kepada hakikat ini ialah tidak mendiskriminasi atau menindas, sebaliknya mempunyai belas kasihan dan membantu (mereka),” katanya yang lantang mengkritik birokrat agama di negara Islam.

Akyol berkata, beliau sedar isu yang akan timbul daripada pengiktirafan transgender.

“Sebagai contoh, jika seorang transgender wanita cuba menggunakan tandas wanita, ini mungkin menimbulkan gangguan kepada wanita lain, tetapi kes seperti itu boleh dikawal.

“Tetapi, sepatutnya tiada masalah untuk transgender menjadi anggota penuh masyarakat – dan juga umat Islam yang baik.”

Akyol menggesa pihak berkuasa tidak mengambil tindakan terhadap Sajat.

“Saya percaya Nur Sajat tidak patut diganggu, diburuk-burukkan, menjadi sasaran atau dilarang melawat Kaabah.”