LFL dakwa Singapura ugut peguam terkenal bela 2 banduan hukuman mati Malaysia

Peguam hak asasi terkenal Singapura, M Ravi. (Gambar Twitter)

PETALING JAYA: Kumpulan hak asasi, Lawyers for Liberty mendakwa kerajaan Singapura mengugut seorang peguam hak asasi manusia terkenal di negara itu yang mewakili 2 banduan Malaysia yang memohon hukuman mati ke atas mereka ditangguhkan.

LFL merujuk kenyataan Jabatan Peguam Negara Singapura semalam yang memberi amaran kepada peguam M Ravi yang mewakili Datchinamurthy Kataiah dan Gobi Avedian.

Dua lelaki itu dalam permohonan penangguhan hukuman mati mereka memetik dakwaan mengejutkan oleh LFL pada bulan lalu yang pegawai Penjara Changi menggunakan kaedah kejam jika tali gantung terputus ketika menjalankan hukuman gantung, dakwaan yang ditolak Singapura.

“Ini bermakna AGC Singapura mengancam M Ravi dengan prosiding jenayah atau tindakan punitif, sekiranya dia meneruskan kes kontroversi ini,” kata N Surendran dan Melissa Sasidaran daripada LFL dalam kenyataan hari ini.

“Ini umpana pedang Damocles di kepala (perkara buruk mungkin berlaku pada bila-bila masa) M Ravi. AGC enggan menarik balik ugutan mereka, walaupun M Ravi berulang kali meminta mereka berbuat demikian dalam pendengaran semalam.”

Ravi antara lain memohon perintah mahkamah untuk melindungi seorang bekas pegawai penjara yang disebut LFL dalam dakwaan kaedah kejam pelaksanaan hukuman gantung di Penjara Changi.

LFL memberi amaran Singapura mungkin menggunakan “pelbagai undang-undang menindas” terhadap Ravi untuk menangani pengkritik yang menentang “rejim hukuman mati kejam” di negara itu.

“Ugutan terhadap peguam yang membela banduan dijatuhkan hukuman mengejutkan dan tidak pernah berlaku, walaupun untuk negara tidak bertoleransi terkenal seperti Singapura.”

Bulan lalu, LFL menyaman menteri dalam negeri Singapura selepas beliau mengarahkan kumpulan itu menyiarkan penafian kerajaan berkenaan bersama dakwaannya dengan menggunakan Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Dalam Talian.

LFL berkata, Singapura tiada bidang kuasa untuk campur tangan dalam hak kebebasan bersuara rakyat Malaysia.