AirAsia X tubuh jawatankuasa semak dakwaan rasuah Airbus

AirAsia dan AirAsia X menafikan salah laku berhubung dakwaan rasuah melibatkan syarikat pengeluar kapal terbang, Airbus.

PETALING JAYA: AirAsia X membentuk satu jawatankuasa lembaga untuk menyemak dakwaan rasuah oleh Pejabat Kesalahan Berat (SFO) British, menurut satu pemfailan di Bursa Malaysia semalam.

Reuters melaporkan jawatankuasa itu bakal terdiri daripada anggota bukan eksekutif lembaga pengarah, tidak termasuk Kamarudin Meranun dan Tony Fernandes, pengasas bersama syarikat induk Air Asia Group.

Pada Isnin, AirAsia Group berkata, ia juga menubuhkan satu jawatankuasa untuk menyemak dakwaan itu dan ketua pegawai eksekutif Tony Fernandes serta pengerusi Kamarudin akan berundur sekurang-kurangnya selama 2 bulan sewaktu syarikat penerbangan itu dan pihak berkuasa menyiasat dakwaan terbabit.

Fernandes dan Kamarudin menafikan apa-apa salah laku.

Pada Jumaat, SFO mendakwa Airbus memberi rasuah AS$50 juta kepada eksekutif yang dikaitkan dengan AirAsia dan AirAsia X bagi mendapatkan pesanan kapal terbang.

Ia berkata, Airbus menaja pasukan sukan yang dimiliki oleh eksekutif AirAsia semasa perundingan pembelian kapal terbang.

“Tujuan utama jawatankuasa ialah menyemak dakwaan yang melibatkannya (AirAsia X), dan mengambil apa-apa langkah perlu, termasuk melantik pakar bebas,” Reuters memetik pemfailan tersebut.

Ia berkata, jawatankuasa itu akan mengendalikan semua isu berkaitan semakan tersebut.