Hanya 8 pegawai kanan dari Semporna, Shafie tolak dakwaan nepotisme

Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal mendakwa pembangkang mahu merosakkan reputasi pentadbiran beliau.

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal menolak dakwaan bahawa beliau mengisi jawatan kanan dalam pentadbiran kerajaan dengan individu dari kawasan Parlimen Semporna.

Ahli Parlimen Semporna itu berkata, hanya 8 daripada 120 orang pegawai kanan kerajaan berasal dari Semporna.

Beliau menegaskan pelantikan pegawai terbabit dibuat berdasarkan merit, bukan kerana mereka berasal dari Semporna.

“Daripada 120 pegawai kanan seperti pegawai daerah, setiausaha kerajaan negeri dan setiausaha tetap, hanya 8 dari Semporna.

“Seorang daripada mereka memegang jawatan setiausaha tetap. Yang lain berasal dari bahagian lain Sabah,” kata Shafie ketika berucap pada satu majlis sambutan Tahun Baru Cina di sini, malam tadi.

Shafie berkata, dakwaan itu merupakan muslihat politik pembangkang untuk memburukkan reputasi pentadbirannya.

Beliau juga berkata, amalan nepotisme berleluasa pada masa pentadbiram Barisan Nasional (BN).

Katanya, pada masa itu adik beradik dibenarkan memegang jawatan penting, misalnya Musa Aman merupakan ketua menteri, sementara adiknya Anifah Aman adalah menteri luar.