Khabar angin kekurangan kertas tandas cetus pembelian panik di HK

Kerajaan Hong Kong kesal dengan ‘tindakan berniat jahat menyebarkan khabar angin’ yang menyebabkan kekurangan barangan seperti kertas tandas. (Gambar AP)

HONG KONG: Selepas kekurangan topeng hidung dan mulut akibat penularan wabak koronavirus, Hong Kong kini berdepan kekurangan bekalan kertas tandas.

Pasar raya di sebahagian kawasan bandar itu menghadapi masalah kekurangan bekalan kertas tandas ketika gambar rak kosong dan orang ramai beratur tersebar di media sosial, ketika Hong Kong berusaha mengasingkan diri daripada China untuk mengelakkan penularan wabak koronavirus.

Pemimpin kerajaan berkata, Hong Kong akan melaksanakan kuarantin kepada individu yang datang dari China, termasuk penduduknya sendiri dan pelawat yang masuk ke bandar itu melalui lapangan terbang.

Punca kekurangan kertas tandas itu tidak jelas, tetapi spekulasi timbul di media sosial mengenai kemungkinan berlaku tindakan menyorok barangan itu membabitkan rantaian bekalan di China.

Semalam, kerajaan Hong Kong menyuarakan kekesalan terhadap “tindakan berniat jahat menyebarkan khabar angin” yang menyebabkan kekurangan barangan seperti beras dan kertas tandas.

Katanya, langkah mengawal wabak koronavirus tidak akan menjejaskan pergerakan kargo di sempadan.

Vinda International Holdings yang merupakan pengeluar kertas tandas tersenarai di Hong Kong dan rantaian pasar raya di bandar itu tidak memberi respons segera terhadap masalah kekurangan produk itu.

Saham Vinda melonjak 8% pada sesi dagangan pagi tadi.

Tinjauan ke 8 pasar raya berhampiran daerah perniagaan utama oleh wartawan Bloomberg mendapati tiada bekalan kertas tandas.

“Kami ke 5 kedai dan tiada bekalan kertas tandas,” kata Lok Gork, 30, seorang pereka yang tinggal di Hong Kong.

Beliau terpaksa membeli tisu basah untuk menggantikan kertas tandas.