Malang tidak berbau… Bayi dikesan dijangkiti koronavirus selepas 30 jam dilahirkan

Bayi yang disyaki menjadi mangsa termuda dijangkiti koronavirus diletakkan di dalam sebuah inkubator. (Gambar Twitter China People Daily)

Seorang bayi yang dilahirkan di sebuah hospital di Wuhan, China menjadi mangsa termuda dijangkiti koronavirus.

Menurut stesen TV China CCTV, doktor dari Wuhan Children Hospital mengesahkan yang seorang bayi baru lahir daripada ibu yang dijangkiti koronavirus dijangkiti wabak berbahaya tersebut selepas 30 jam bayi itu dilahirkan.

Bayi malang tersebut dilahirkan pada 2 Feb lalu dan kemungkinan ia disebarkan ibunya semasa anak di dalam kandungan, ketika proses kelahiran atau penyusuan.

“Kami perlu mengambil langkah berjaga-jaga mengenai penyebaran virus itu terhadap bayi tersebut,” kata seorang doktor.

Meskipun bayi itu nampak stabil dan tiada tanda-tanda yang menunjukkan dia mengalami batuk mahupun selesema, namun bayi tersebut dilihat mempunyai masalah untuk bernafas.

Ujian x-ray yang dilakukan terhadap bayi malang itu juga mendapati yang bahagian dadanya mempunyai jangkitan dan ada kelainan sikit pada bahagian hati bayi tersebut.

Menurut Dr Zeng Lingkong daripada Jabatan Perubatan Neonatal, ini potensi baru cara virus merebak iaitu dari ibu ke anak.

“Perkara ini mengingatkan kita untuk terus fokus kepada potensi baru cara koronavirus ini merebak – daripada ibu ke anak.”

Malah dalam satu insiden lain, ada juga kes di mana seorang bayi dilahirkan sihat pada 13 Jan 2020 tetapi tiba-tiba saja menunjukkan simptom dijangkiti koronavirus pada 29 Jan lepas.

Lebih mengerikan, bayi ini pula menjangkiti pengasuh dan ibunya yang mana kedua-duanya selepas itu positif koronavirus.

Bagaimanapun hingga setakat ini, cara penyebaran virus melalui ibu ke anak ini masih tak dapat dipastikan lagi kesahihannya.

Seorang pakar dalam perubatan di University of East Anglia berkata, masih tak ada bukti kukuh yang mengatakan bayi itu positif koronavirus akibat dia dijangkiti semasa dalam kandungan ataupun semasa dalam proses kelahiran.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]