Harga RON95, diesel turun bawah harga siling

Lim Guan Eng berkata, penurunan harga petrol dan diesel itu disebabkan penurunan harga minyak global.

PETALING JAYA: Putrajaya hari ini mengumumkan penurunan harga RON95 dan diesel di bawah harga siling yang dikuatkuasakan sejak tahun lalu.

Kementerian Kewangan pada 27 Feb tahun lalu mengumumkan harga siling RON95 dan diesel ditetapkan pada RM2.08 serta RM2.18 seliter.

Hari ini, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, harga RON95 diturunkan 4 sen daripada RM2.08 kepada RM2.04, RON97 dikurangkan 7 sen kepada RM2.34 dan diesel pula murah 10 sen berbanding RM2.18 mulai tengah malam ini hingga 14 Feb nanti.

“Penurunan harga runcit ini disebabkan penurunan harga minyak global.

“Kami sudah memenuhi janji kami. Inilah janji ditepati,” katanya pada sidang media di sini.

Lim berkata, harga RON95 dan diesel masih ditetapkan pada RM2.08 dan RM2.18 seliter, walaupun harga minyak dunia meningkat.

Bagaimanapun, katanya, penurunan harga petrol dan diesel akan membawa kesan positif dan negatif.

Beliau berkata, pendapatan kerajaan akan berkurangan, tetapi perbelanjaan untuk subsidi minyak juga berkurangan.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan hari ini berkata, kerajaan membelanjakan RM6 bilion untuk membiayai subsidi produk petroleum dan gas petroleum cecair (LPG) sepanjang 2019.

Sementara itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Saifuddin Nasution Ismail berkata harga minyak akan terus ditetapkan mengikut formula Mekanisme Harga Automatik (APM).

“Ini sehingga kita mempunyai mekanisme subsidi minyak bersasar.”