Lokman dakwa dipecat Umno

Lokman Noor Adam mendakwa beliau dipecat melalui undi angkat tangan yang tidak sepatutnya mengambil kira undian ketua negeri yang bukannya ahli MKT.

KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Tertinggi Umno, Lokman Noor Adam mendakwa beliau dipecat parti itu dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) hari ini.

“Saya telah dikeluarkan daripada ‘group’ Majlis Tertinggi Umno di WhatsApp pada jam 8.01 malam.

“Saya diberitahu oleh seseorang saya telah dipecat,” katanya kepada FMT.

Terdahulu, Lokman dalam satu kenyataan berkata, beliau dipecat melalui undi angkat tangan yang tidak sepatutnya mengambil kira undian pengerusi negeri yang bukannya ahli Majlis Tertinggi.

Katanya, beliau reda dengan keputusan itu dan tetap setia kepada Umno.

“Saya akan meneruskan perjuangan saya menentang Pakatan Harapan dan tali barut musuh di dalam Umno melalui sebuah NGO laskar siber Malaysia.

“Insya Allah bila Najib Razak kembali jadi presiden Umno, saya akan memohon semula menjadi ahli Umno.

“Apa yang penting, rancangan Ahmad Zahid Hamidi untuk memaksa 3.7 juta ahli Umno mengangkat Mahathir membentuk Pakatan Nasional telah gagal.”

Terdahulu, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Bung Moktar Radin berkata, MKT menyerahkan kepada Lembaga Disiplin untuk menyiasat dan mengambil tindakan terhadap Lokman kerana mengkritik Zahid baru-baru ini.

Lokman tidak menghadiri mesyuarat hari ini yang dipengerusikan Zahid.

Isnin lalu, Lokman membidas Zahid yang didakwa berkata, Umno bekerjasama dengan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad kerana PAS melakukan perkara sama.

Katanya, Umno memerlukan pemimpin yang sedia berjuang untuk rakyat, bukannya individu yang “berkompromi dengan golongan berkuasa”.

Oleh itu, beliau menggesa Zahid berundur jika hanya mampu tunduk kepada Mahathir bagi menghalang pendaftaran Umno dibatalkan dan akaun banknya dibekukan.

Biro Politik syor pecat Lokman

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Mohd Puad Zarkashi berkata, Biro Politik yang mengesyorkan pemecatan keahlian Lokman, bukannya Lembaga Disiplin.

Beliau mempersoalkan fungsi Lembaga Disiplin dan kenapa tiada tindakan diambil terhadap bekas naib presiden, Hishammuddin Hussein.

“(Hishammuddin) tidak dikenakan tindakan sama. Tidakkah perbuatan beliau mengadakan pertemuan beberapa kali dengan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad tanpa memaklumkan MKT dan presiden Umno melanggar disiplin parti?

“Ia juga tidak menghormati institusi presiden. Bukan kerana mahu mempertahankan Lokman, tetapi tindakan mestilah adil dan jangan selektif.

“Apapun saya telah menyuarakan pendirian saya ini dalam MKT, tetapi gagal,” katanya selepas menghadiri mesyuarat MKT hari ini.